Kerajaan Bakal Perkenal Akta Penjagaan Ibu Bapa, Elak Kes ‘Lepas Tangan’ – KPWKM
Difahamkan, kerajaan tidak mahu nilai tanggungjawab sosial terhadap ibu bapa terhakis.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penjagaan Ibu Bapa akan diperkenalkan oleh kerajaan tidak lama lagi
Undang-undang ini akan dirangka untuk memastikan kebajikan warga emas terjamin selari dengan jangkaan Malaysia yang bakal menjadi negara menua pada tahun 2036 nanti.
Menurut laporan daripada Harian Metro, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bakal membentang kertas cadangan RUU itu dalam tempoh enam bulan akan datang.
Kenyataan ini telah dibuat ketika pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Tambah beliau, RUU ini adalah untuk memperkukuh tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa mereka kerana banyak kes pengabaian warga emas.
"Ada akta baharu iaitu Akta Penjagaan Ibu Bapa yang menjadi tanggungjawab anak-anak," katanya.

Beberapa negara sudah melaksanakan undang-undang ini
Menurut beliau lagi, beberapa negara telah melaksanakan undang-udang ini tetapi negara kita masih di dalam fasa kajian.
"Saya sudah meminta agar kementerian mengemukakan kertas cadangan kepada pembentukan akta itu enam bulan daripada sekarang dan mesti dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan dasar," kata beliau.
Juga turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Nilai-nilai tanggungjawab sebagai anak tidak boleh hilang

Gambar sekadar hiasan.
Image via Utusan MalaysiaSelain itu, Ahmad Zahid tidak mahu nilai tanggungjawab sosial kepada ibu bapa diabaikan dan nilai ketimuran hilang, termasuk nilai agama.
"Kita tidak mahu apabila Malaysia menuju sebuah negara maju, soal tanggungjawab sosial kepada ibu bapa diabaikan dan nilai agama serta nilai ketimuran itu luntur.
"Harus ada keseimbangan antara nilai duniawi dan ukhrawi. Semua bangsa dan agama memberikan penekanan terhadap penjagaan ibu bapa.
"Soal menghantar mereka ke rumah orang tua dan meninggalkannya tanpa melawat adalah satu pelepasan tanggungjawab yang sangat tidak dialu-alukan," katanya.
Pendekatan ini juga sesuai dengan acuan Malaysia yang mempunyai nilai kenegaraan tersendiri dan supaya kesefahaman antara agama dan masyarakat diperkukuhkan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 