Kenakan Caj Tak Masuk Akal, Ulat KLIA Didakwa Perdaya Penumpang Dengan Harga Melampau
Mereka menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini mengambil langkah lebih tegas dalam membanteras kegiatan 'ulat' kereta sewa haram di sekitar KLIA dan KLIA2
Terbaru, JPJ menguatkuasakan tindakan pelucutan hak terhadap kenderaan yang terlibat dalam aktiviti haram tersebut, di mana kenderaan berkenaan akan disita dan diserahkan kepada kerajaan sebagai aset rampasan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan JPJ untuk memastikan keselamatan dan ketelusan perkhidmatan pengangkutan di lapangan terbang utama negara sentiasa terjamin, sekaligus memberi amaran jelas kepada pihak yang masih cuba mengambil kesempatan terhadap penumpang.
Menurut laporan Berita RTM, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan memberitahu tindakan itu dilaksanakan selepas JPJ Selangor berjaya memperoleh perintah mahkamah mengikut Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara.
"Denda sebelum ini tidak memberi kesan. Pelaku membayar, dan keesokan hari kembali menjalankan kegiatan ulat. Kini, kita rampas terus kenderaan mereka, potong sumber operasi sepenuhnya," katanya.

Turut kesan penglibatan warganegara asing dalam kegiatan haram itu
Setakat tahun ini, pihak JPJ telah melakukan sebanyak 80 tangkapan berkaitan kegiatan 'ulat' kereta sewa haram di KLIA dan KLIA2.
Kesemua tangkapan ini melibatkan 69 kenderaan persendirian, 10 kenderaan perkhidmatan awam, serta satu kes individu yang cuba menyembunyikan kenderaan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
JPJ turut mengesan penglibatan warga asing dalam sindiket haram ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam di lapangan terbang.
"Mulai hari ini, semua kes melibatkan warga asing akan terus dicadangkan untuk pelucutan hak walaupun hanya melakukan satu kesalahan. JPJ tidak akan berkompromi," katanya lagi.

Mereka juga memberi tumpuan kepada pemandu teksi sah yang menyalahgunakan lesen dan permit dengan mengenakan caj berganda antara RM100 hingga RM150 kepada penumpang, berbanding kadar rasmi RM65 hingga RM80.
Tindakan tegas menanti golongan ini termasuk pelucutan hak kenderaan serta-merta.
"Mereka diberi kebenaran beroperasi secara sah, tetapi ambil kesempatan menjadi ulat. Tindakan ini mencemarkan imej negara dan menjejaskan industri pelancongan serta sistem pengangkutan awam," jelas Kifli.
Mereka yang disabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 205(1) APAD 2010 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya. Individu yang bersubahat pula boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) akta sama.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 