[VIDEO] Kemalangan Enam Kenderaan Berpunca Daripada Pintu Kereta Dibuka Kanak-Kanak
Nahas kemalangan membabitkan enam kenderaan.
Cover image via XFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kejadian malang yang melibatkan perlanggaran enam buah kenderaan di Jalan Tun Razak kelmarin dilaporkan berpunca daripada tindakan luar kawal seorang kanak-kanak perempuan
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, kanak-kanak tersebut dipercayai telah membuka pintu belakang salah sebuah kereta yang sedang bergerak secara tidak sengaja sehingga mencetuskan kemalangan berantai itu.
Memetik laporan Bernama, insiden yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang itu membabitkan empat buah kereta serta dua buah motosikal yang ketika itu sedang dalam perjalanan dari arah Bulatan Kampung Pandan menuju ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).
"Siasatan awal mendapati kanak-kanak berusia dua tahun itu yang berada di tempat duduk penumpang belakang dengan dipangku saudaranya, membuka pintu belakang sebelah kiri secara mengejut. Ciri kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) juga dipercayai tidak diaktifkan menyebabkan pintu kenderaan dapat dibuka dari bahagian dalam.
"Tindakan itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal jenis Suzuki V-Strom SX yang sedang bergerak di antara lorong tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu kenderaan berkenaan sebelum hilang kawalan dan merempuh beberapa kenderaan lain," katanya dalam kenyataan.

Salah seorang penunggang motosikal patah tangan kiri
Asisten Komisioner Mohd Zamzuri menyatakan bahawa kegagalan seorang penunggang motosikal jenis CFMOTO 675 NK untuk mengelak ketika berada di posisi belakang mengakibatkan mangsa turut terbabit dalam nahas tersebut.
"Penunggang Suzuki V-Strom SX berusia 25 tahun mengalami patah tangan kiri dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala penunggang CFMOTO berusia 30 tahun mengalami cedera ringan.
"Pemandu empat kenderaan lain iaitu Toyota Corolla Cross, Honda City, Volkswagen Polo dan Perodua Bezza dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tidak bertimbang rasa," katanya.
Pihak polis memohon kerjasama saksi atau orang awam yang mempunyai maklumat lanjut untuk membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



