Kek Lapis Sarawak ‘Premium’ Dijual Dengan Harga RM1,800 Raih Perhatian Ramai
Penghasilan Kek Lapis Sultan menuntut pengalaman, kesabaran dan kemahiran tinggi kerana prosesnya yang rumit.
Cover image via Ezra Kamilea/ Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Juadah kek lapis Sarawak sudah menjadi kemestian setiap kali sambutan Aidilfitri, namun perhatian kini tertumpu kepada sebuah kek lapis kategori mewah yang mencecah harga RM1,800 seloyang
Nilai tersebut sekali gus meletakkannya sebagai antara kek lapis paling mahal di pasaran buat masa ini.
Memetik laporan Harian Metro, kek eksklusif yang dinamakan 'Kek Lapis Sultan' ini adalah hasil air tangan Adhar Brahim, 38.
Beliau mempertaruhkan penggunaan bahan-bahan premium sepenuhnya, selain menerapkan teknik pembuatan yang sangat rapi serta proses penyediaan yang memakan masa lama demi menjamin kualitinya.
Adhar menjelaskan bahawa penghasilan kek ini bukan sekadar memenuhi tempahan, malah merupakan simbol kreativiti dan seni halus pembuatan kek lapis Sarawak.
Tambahnya, setiap lapisan dihasilkan dengan penuh ketelitian bagi menjamin kemasan susunan serta keseimbangan tekstur dan rasa yang sempurna.
"Bahan, teknik dan masa pembuatannya semuanya berada pada tahap premium. Setiap lapisan dibuat dengan sangat teliti supaya tekstur dan rasanya seimbang.
"Bagi saya, kek ini bukan sekadar kek tetapi satu karya seni dalam dunia kek lapis Sarawak," katanya.

Proses lebih 8 jam
Adhar menegaskan bahawa pembuatan Kek Lapis Sultan menuntut pengalaman dan kesabaran tinggi kerana prosesnya yang rumit.
Beliau meluangkan masa lebih lapan jam untuk mengadun, melapis, dan membakar setiap lapisan bagi memastikan kualiti tekstur yang sempurna, memandangkan kek ini sangat sensitif terhadap suhu.
Demi menjamin rasa yang mewah, Adhar menggunakan bahan premium seperti mentega Wijsman, buah-buahan kering import, serta kacang pilihan.
Gabungan bahan berkualiti ini bukan sahaja memberikan rasa yang lebih kaya, malah menghasilkan tekstur kek yang lebih unik dan menarik.
"Setiap bahan dipilih dengan teliti supaya memberikan rasa yang lebih mendalam serta identiti tersendiri kepada Kek Lapis Sultan," katanya.

Kek seberat lebih lima kilogram seloyang ini ditawarkan pada harga RM1,800, manakala pilihan lain tersedia dalam saiz setengah loyang (RM910), loaf (RM310), dan setengah loaf (RM160).
Pelanggan yang ingin mencuba juga boleh mendapatkan potongan kecil (bite size) pada harga RM9.50 sahaja.
Bagi mengekalkan nilai eksklusifnya, Adhar mengehadkan pengeluaran kepada 200 loyang sahaja.
Kek ini menjadi dambaan peminat setia kek lapis yang mencari keunikan rasa serta kualiti luar biasa yang tidak terdapat pada versi biasa.
"Sasaran utama kami adalah 'cake lover' yang menghargai sesuatu yang istimewa dan berbeza daripada kek lapis biasa," katanya.
Adhar mengakui reaksi pelanggan terhadap harga kek tersebut cukup pelbagai, malah ada yang berseloroh mendakwanya ingin "cepat kaya".
Namun, pelanggan tetap menyokong kerana amat memahami kualiti premium yang ditawarkan. Beliau menegaskan bahawa cabaran terbesar adalah mengekalkan konsistensi kualiti bagi setiap kek yang mempunyai susunan lapisan kompleks tersebut.
Selain Kek Lapis Sultan yang eksklusif, perniagaannya turut menyediakan empat gred kek lapis lain bagi memenuhi bajet dan pilihan pelanggan yang berbeza.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



