Kebakaran Hanguskan Rumah, Namun Al-Quran & Air Zamzam Tetap Kekal Utuh
Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati hanya kediamannya mengalami gangguan bekalan elektrik.
Cover image via NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDIFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pesara kerajaan tidak menyangka kitab suci al-Quran dan sebotol air zamzam miliknya terselamat daripada kebakaran yang menghanguskan seluruh rumah dan lima buah kereta di Kampung Kubur Maras
Menerusi laporan Berita Harian, mangsa, Siti Haminah Daud, 65, menzahirkan rasa syukur dan insaf atas kekuasaan Allah SWT selepas melihat barangan tersebut kekal sempurna di tengah-tengah sisa runtuhan.
Dia kini dilaporkan tinggal sehelai sepinggang akibat bencana tersebut.
"Air zamzam di dalam botol itu dibeli sejak tiga tahun lalu dan sentiasa diminum sebagai ikhtiar mengubati sakit tulang belakang yang dihidapi," katanya.

Kebakaran mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit
Mengimbas semula detik cemas tersebut, Siti Haminah menjelaskan bahawa kebakaran berlaku sekitar jam 2 petang ketika dia sedang bersendirian di rumah.
Pada waktu kejadian, suaminya, Syed Abdul Hamid Syed Ahmad, 77, yang merupakan seorang pesara guru, tiada di rumah kerana sedang menunaikan solat fardu zuhur secara berjemaah di Masjid Langgar.
"Saya sedang bersiap mengambil wuduk di dapur sebelum tiba-tiba terdengar bunyi kotak fius meletup dan melihat api menyambar dinding rumah.
"Saya segera menghubungi suami tetapi tidak berjawab. Dalam keadaan ketakutan serta cemas, saya menjerit meminta tolong.
"Mujur jeritan saya didengari anak jiran di rumah sebelah yang kemudian bertindak pantas memimpin saya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sebelum kejadian, Siti Haminah memaklumkan bahawa kediamannya telah mengalami gangguan bekalan elektrik sejak jam 3 pagi.
Selepas menyedari hanya rumahnya yang terjejas, beliau telah menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dimaklumkan terdapat kerosakan pada bahagian fius.
Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila kebakaran itu kemudiannya menyebabkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, termasuk kemusnahan wang tunai, barang kemas, serta lima buah kenderaan yang mana tiga daripadanya merupakan kereta antik.
"Walaupun kehilangan harta benda, saya reda dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi tiada nyawa terkorban," katanya.

Bantuan segera RM300 dan keperluan asas telah disampaikan oleh Pegawai JKM Kota Bharu, Salihah Kamarudin kepada keluarga Siti Haminah sebagai bantuan awal.
Mengenai operasi memadam kebakaran, PBKI Ridzuan Baharuddin memaklumkan bahawa seramai 18 anggota dari BBP Kota Bharu dan BBP Kota Darul Naim terlibat dalam misi tersebut sebaik menerima panggilan pada jam 2.09 petang.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.45 petang selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



