Katerer Lesap Saat Akhir, Pengantin Rugi RM11,000 & Ibu Pula Gadai Gelang Emas
Majlis perkahwinan pada 31 Januari lalu terjejas apabila pengusaha katering gagal menghadirkan diri atau 'ghaib' pada hari kejadian.
Cover image via Gambar janaan AIFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pasangan pengantin di Tampin, Negeri Sembilan, menanggung kerugian melebihi RM11,000 selepas menjadi mangsa penipuan seorang pengusaha katering wanita yang gagal muncul pada hari perkahwinan mereka, 31 Januari lalu
Menurut laporan Berita Harian, kakak pengantin yang dikenali sebagai Mimie mendedahkan bahawa kehilangan pihak katering tersebut hanya disedari pada pagi majlis berlangsung, sehingga memaksa mereka mencari penyedia makanan ganti secara mengejut demi meneruskan keraian tersebut.
"Adik maklumkan menerima mesej wanita berkenaan di WhatsApp yang memberitahu tidak dapat hadir (menyediakan makanan) pada majlis itu kira-kira jam 4 pagi hari kejadian.
"Dalam mesej berkenaan, wanita itu hanya minta maaf dan maklum tidak dapat hadir kerana ada hal tidak dapat dielakkan.
"Cubaan adik saya menghubunginya untuk minta penjelasan gagal apabila mesej dihantar tidak sampai kepada penerima, manakala panggilan pula masuk ke peti suara," katanya.

Terpaksa mengeluarkan tambahan RM6,000 bagi melantik katerer baharu di saat akhir
Dalam situasi yang cukup mendesak, seluruh ahli keluarga bekerjasama membantu pasangan tersebut mencari katering pengganti hanya beberapa jam sebelum majlis bermula bagi memastikan tetamu tidak terabai.
"Apa yang membuatkan kami terkilan adalah tindakan tidak bertanggungjawab wanita berkenaan menyebabkan ibu terpaksa menggadaikan gelang emasnya bagi membayar dua katerer ganti yang menyediakan makanan untuk 500 orang.
"Sejujurnya, kami tiada kos tambahan untuk katerer lain memandangkan kos untuk katering dalam majlis berkenaan sudah dibayar kepada wanita terbabit iaitu sebanyak RM5,800," katanya.
Keluarga tersebut terpaksa menanggung kos luar jangka sebanyak RM6,000 demi mendapatkan perkhidmatan katering ganti pada saat-saat akhir.

Gambar janaan AI
Menurut Mimie, dia sendiri yang mencadangkan pengusaha katering tersebut kepada adiknya kerana berpuas hati dengan hasil kerja wanita itu semasa majlis perkahwinannya sendiri di lokasi yang sama pada Ogos tahun lalu.
"Sebelum ini, saya guna khidmat katerer itu bagi menyediakan makanan kepada 500 orang dalam majlis perkahwinan saya selepas melihat iklan di Facebook.
"Pakej yang ditawarkan wanita berkenaan amat murah iaitu RM6,500 untuk set nasi minyak bersama tiga lauk, buah serta air minuman selain cendol serta aiskrim percuma.
"Ketika majlis perkahwinan saya, tiada sebarang masalah berlaku. Malah, kesemua juadah disediakan wanita itu juga sedap.
"Melihat keadaan itu, saya mencadangkan adik untuk menggunakan katerer sama, namun lain pula jadinya," katanya.
Mimie menjelaskan bahawa wanita tersebut menawarkan pakej istimewa kepada adiknya dengan harga RM6,250 bagi hidangan 500 tetamu, iaitu kadar yang lebih murah berbanding harga asal untuk menu yang sama.
"Adik membuat pembayaran kepada wanita itu menerusi beberapa transaksi pemindahan wang sehingga RM5,800, manakala selebihnya akan dibayar pada hari majlis berlangsung.
"Kami terkilan kerana wanita berkenaan tergamak menghilangkan diri begitu sahaja sedangkan kos untuk katerer sudah dibayar lebih 80 peratus," katanya.
Sementara itu, Mimie turut mendakwa bahawa adiknya bukanlah mangsa tunggal, kerana terdapat dua lagi pasangan pengantin lain dipercayai menggunakan khidmat katering sama turut ditipu apabila wanita berkenaan gagal menghadirkan diri pada majlis mereka yang berlangsung pada tarikh yang sama.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



