Karam Singh Walia Meninggal Dunia, Perginya Tokoh Wartawan Yang Paling Disegani

Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri media dan perjuangan alam sekitar di Malaysia.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Wartawan alam sekitar terkenal, Karam Singh Walia, dilaporkan meninggal dunia pada jam 3.30 pagi tadi di kediamannya di Klang, Selangor

SAYS.com
Image via Buletin TV3

Menurut laporan Berita Harian, khabar duka itu dimaklumkan oleh adiknya, Jasbant Singh, yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad.

Mendiang merupakan bekas wartawan penyiaran di TV3 dan berkhidmat sejak tahun 1995 sebelum bersara pada 2014. Sepanjang kariernya, beliau dikenali dengan gaya penyampaian yang lantang serta penggunaan frasa ikonik seperti 'ini bukan cerita baru', khususnya ketika membongkar isu pencemaran dan salah urus alam sekitar.

Dilahirkan pada tahun 1959 di Teluk Intan, Perak dalam keluarga Punjabi Sikh, beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru sekolah menengah dan pensyarah universiti sebelum beralih ke dunia kewartawanan.

Peralihannya itu didorong oleh rasa tanggungjawab selepas menyaksikan sendiri isu wabak denggi di kawasan perumahannya yang tidak ditangani sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Sepanjang bergelar wartawan, beliau terkenal dengan gaya laporan unik yang sering diakhiri dengan peribahasa Melayu yang tajam dan penuh makna

Difahamkan, beliau memiliki koleksi lebih 4,000 peribahasa yang dijadikan rujukan dalam penyampaian berita, sekali gus menjadikan laporannya bukan sahaja informatif tetapi juga berunsur pendidikan dan sindiran halus.

Dalam menjalankan tugas, Karam turut berdepan pelbagai cabaran dan ancaman. Antaranya termasuk insiden dikejar individu bersenjatakan parang ketika membuat liputan isu kerosakan alam sekitar di Cameron Highlands pada tahun 2000.

Selain itu, beliau juga pernah berdepan pencerobohan rumah dan kecurian kenderaan pada tahun 2009, dipercayai berkait dengan keberaniannya mendedahkan pelbagai isu sensitif.

SAYS.com
Image via NST

Pengorbanannya dalam bidang kewartawanan turut memberi kesan kepada kehidupan peribadi, termasuk tidak berpeluang menyaksikan anak-anak membesar. Namun, beliau sentiasa menzahirkan penghargaan terhadap sokongan keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaannya.

Sepanjang kerjayanya, Karam menerima pelbagai pengiktirafan termasuk empat kali anugerah Malaysia Press Institute sebagai Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik dari tahun 2004 hingga 2007, serta dua Anugerah Seri Angkasa.

Pada tahun 2011, beliau turut dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Selepas persaraannya, beliau menghabiskan masa bersama keluarga di Klang. Namanya kembali menjadi sebutan apabila video kompilasi laporannya tular di media sosial, memperlihatkan betapa besar impak dan legasi yang ditinggalkan dalam dunia kewartawanan negara.

Tidak dinafikan, pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri media dan perjuangan alam sekitar di Malaysia.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: