Kapal Misi Global Sumud 2.0 Dipintas Israel, 10 Rakyat Malaysia Kini Terputus Hubungan
Semoga semua rakyat Malaysia yang terlibat baik-baik saja.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Situasi genting melibatkan misi kemanusiaan Global Sumud Nusantara 2.0 mencetuskan kebimbangan apabila sekurang-kurangnya 10 kapal dilaporkan dipintas oleh pihak berkuasa Israel di perairan Laut Mediterranean, awal pagi tadi
Menurut laporan Berita Harian, insiden tersebut mengakibatkan seramai 10 rakyat Malaysia terputus hubungan, dengan status keselamatan mereka masih belum dapat dipastikan setakat ini.
Difahamkan, data teknikal terkini daripada sistem pemantauan maritim Sumud Nusantara Tracker (SNCC), tujuh kapal terawal yang dikenal pasti dipintas ialah Safsaf, Snap, Al-Faluja, Eros, Eros 1st, Romantica dan Nagual.
Perkembangan terbaharu kemudian mengesahkan tiga lagi kapal iaitu Marea, Freia dan Bianca turut mengalami nasib sama, menjadikan keseluruhan 10 aset terjejas dalam operasi berkenaan.

Maklumat SNCC turut memperincikan identiti rakyat Malaysia yang berada di zon konflik tersebut.
Muhamad Muhsin Zaidi dilaporkan berada di atas kapal Marea, manakala Mohd Redzal Amzah di kapal Freia. Empat lagi kru Malaysia iaitu Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani berada di atas kapal Bianca.
Selain itu, kumpulan sukarelawan terdahulu yang telah dikenal pasti termasuk Zainal Rashid Ahmad (ZRA) di kapal Eros 1st, Mohd Shamsir Mohd Isa di kapal Esplai, serta Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin di kapal Eros
Pusat arahan teknikal memaklumkan bahawa isyarat kecemasan (SOS) sempat diaktifkan sebelum semua kapal terbabit didekati pasukan keselamatan. Difahamkan, gangguan frekuensi turut digunakan bagi menyekat komunikasi luar, sekali gus menyebabkan semua hubungan terputus secara mendadak.
Kesemua kapal kini dipercayai sedang dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan. Ketiadaan maklumat lanjut berhubung keadaan fizikal kru dan sukarelawan menambahkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.
Setakat ini, masih belum terdapat sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Malaysia berhubung insiden berkenaan. SNCC dijangka mengadakan sidang media tergempar dalam masa terdekat bagi memberikan perkembangan terkini mengenai misi tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 