Kanak-Kanak Umur 3 Tahun Disahkan Alami Kerosakan Otak Teruk Akibat Influenza A & Hanya Terlantar
Semoga diberi kesembuhan sepenuhnya buat adik Aish.
Cover image via Ibu Aish (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tiada yang lebih merobek hati seorang ibu selain melihat anak kecil yang dulunya riang, berlari dan memanggil namanya kini hanya mampu terlantar tanpa daya
Itulah realiti yang sedang ditanggung oleh Siti Nur Shafiqa Suraini, 31, seorang suri rumah, apabila anak sulungnya Muhammad Aish Irfan Mohammad Hakeem, 3, disahkan menghidap Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC) sejenis kerosakan otak teruk berpunca daripada jangkitan Influenza A.
Menurut laporan Sinar Harian, segalanya berubah pada awal pagi apabila anak kecil itu tiba-tiba menangis kuat, muntah dan suhu badannya melonjak hingga 39.8 darjah Celsius.

"Malam itu, sebelum tidur dia masih bermain dan minum susu seperti biasa. Tapi kira-kira jam 4.30 pagi, dia tiba-tiba menangis kuat, muntah dan suhu badannya naik mendadak hingga 39.8 darjah Celsius.
"Kami terus bawa ke Hospital Melaka sebab dia dah lemah dan tak respon bila saya panggil," katanyaa.
Sebelum ini, Muhammad Aish Irfan merupakan kanak-kanak yang aktif dan petah, sudah mampu menyebut huruf A hingga Z serta mengenal warna
Setibanya di jabatan kecemasan, suhu badan Aish meningkat ke 41 darjah Celsius, manakala bacaan oksigennya merosot, memaksa pihak hospital menempatkannya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
"Hari pertama di PICU, oksigen masih tak stabil dan kaki dia tiba-tiba lemah. Selepas imbasan CT dan MRI, doktor sahkan otak Aish ada kerosakan akibat Influenza A. Hari kedua, dia ditidurkan dan doktor minta kami bersedia untuk sebarang kemungkinan," katanya lagi.
Anak kecil itu bertarung nyawa selama sebulan di PICU sebelum keadaannya kembali stabil. Namun, kesan daripada jangkitan tersebut amat besar.

Kini, Muhammad Aish Irfan hilang keupayaan mengawal tubuh, tidak boleh bercakap, perlu minum susu melalui tiub dan disahkan OKU fizikal
"Pakar maklumkan gelombang otak masih perlahan. Sekarang Aish cuma boleh tunjuk reaksi sedih atau gembira.
"Setiap dua jam saya beri susu dan ubat ikut masa. Ayahnya pula yang dukung dan mandikan setiap hari," katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik itu kini menjalani rawatan susulan dengan lima pakar termasuk neurologi, pediatrik, kulit dan penyakit berjangkit. Selain itu, dia turut menjalani empat jenis terapi termasuk fisioterapi, terapi bahasa, cara kerja dan rehabilitasi.

"Terapi fisioterapi di luar mencecah RM150 untuk 20 minit untuk sekali terapi, ada juga terapi di hospital kerajaan cuma dapat dua atau tiga bulan sekali. kami ada dapat bantuan JKM RM500 untuk OKU terlantar, tetapi masih lagi tidak mencukupi untuk menampung kesemua kos rawatan dan pemulihan.
"Semoga Muhammad Aish Irfan kembali pulih dan dapat merasa semula nikmat berjalan, bercakap dan ketawa seperti dulu," ujarnya.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



