Kanak-Kanak Lelaki 2 Tahun Ditemui Maut Tertinggal Dalam Kereta Selama 9 Jam
Difahamkan, ibu mangsa terlupa menghantar anaknya ke pengasuh pada hari kejadian.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun dilaporkan meninggal dunia petang semalam selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta yang diletakkan di belakang sebuah bank berhampiran Jalan Tunku Hassan di Seremban, Negeri Sembilan, lapor Berita Harian
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, mangsa dipercayai telah ditinggalkan di dalam kenderaan tersebut sejak jam 8 pagi dan hanya ditemui sembilan jam kemudian, iaitu kira-kira jam 5 petang.
"Pihak polis menerima paggilan MERS 999 kira-kira jam 6.15 petang daripada orang awam memberitahu terdapat seorang kanak-kanak meninggal dunia di dalam sebuah kereta.
"Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Saga warna putih dan dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu oleh ibunya seawal 8.00 pagi," katanya dalam satu kenyataan.

Ibu mangsa lupa hantar anak ke pengasuh
Ibu kepada mangsa yang merupakan seorang kakitangan bank berusia 35 tahun itu hanya menyedari bahawa anaknya masih berada di dalam kereta apabila dia bersedia untuk pulang ke rumah.
Sebelum itu, dia menyangka telah menghantar anaknya ke rumah pengasuh seperti rutin biasa, namun hakikat yang memilukan itu hanya terbongkar selepas tamat waktu bekerja.
"Difahamkan ibu mangsa terlupa untuk menghantar mangsa ke tempat pengasuh. Kejadian hanya disedari ibu mangsa kira-kira jam 5 petang selepas selesai waktu bekerja," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, sebaliknya menyalurkan sebarang maklumat kepada IPD Seremban di talian 06-6033222.


Dalam pada itu, seorang saksi yang bekerja di kedai pakaian berhampiran memaklumkan bahawa dia bergegas ke lokasi selepas terdengar jeritan histeria seorang wanita dari arah belakang premis tersebut.
"Saya dan rakan segera melihat apa yang berlaku dan dimaklumkan terdapat seorang kanak-kanak yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta.
"Ada juga yang cakap ibu kepada kanak-kanak itu bekerja di sebuah bank dan dipercayai terlupa anaknya tertinggal di dalam kenderaan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 