JPJ Umum Tambah Waktu Operasi Kaunter Lesen Memandu & Pelbagai Seluruh Negara Mulai Sabtu Ini

Langkah itu bertujuan memberi lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan kesediaan untuk menambah waktu operasi Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hujung minggu

Perkara itu seiring dengan pelaksanaan Sistem Subsidi Bersasar Petrol Budi MADANI RON95 (BUDI RON95).

Menurut kenyataan rasmi di Facebook, operasi kaunter tersebut akan dijalankan dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, bermula Sabtu ini sehingga 26 Oktober 2025, melibatkan semua pejabat JPJ negeri serta cawangan di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, menjelaskan bahawa langkah tersebut diambil bagi memberi ruang dan fleksibiliti lebih luas kepada orang ramai, khususnya mereka yang berdepan kekangan masa pada hari bekerja, untuk memperbaharui lesen memandu dengan lebih mudah dan teratur.

"Untuk rekod, terdapat 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun manakala 15.2 juta lagi pemegang lesen CDL aktif iaitu masih berkuat kuasa.

"JPJ mengambil kesempatan ini ingin mengingatkan bagi pemegang lesen memandu yang tamat tempoh melebihi tiga tahun, individu terbabit diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP 02 dan KPP 03) di mana-mana Institut memandu berdekatan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu," katanya.

SAYS.com
Image via Harian Metro

Boleh memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter

Dalam pada itu, Aedy Fadly menjelaskan, pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun disarankan segera memperbaharui lesen masing-masing melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kiosk, tanpa perlu hadir secara bersemuka di kaunter.

"Dengan pelaksanaan inisiatif ini, JPJ yakin ia mampu membantu rakyat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang diumumkan kerajaan, selain meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan harga petrol RON95 akan dikurangkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter berkuat kuasa 30 September ini, menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Menurut laporan Bernama, semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menerima subsidi tersebut. Berdasarkan data JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih 16 juta rakyat dijangka menikmati manfaat daripada program berkenaan.

SAYS.com
Image via Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (Facebook)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: