JPJ Bakal Senarai Hitam Hampir 2 Juta Pemandu Yang Gagal Bayar Saman Tertunggak
Antara lokasi yang mencatat saman tertinggi membabitkan notis AWAS iaitu di Terowong Menora, Ipoh.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Hampir dua juta pengguna jalan raya berdepan tindakan senarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ekoran kegagalan melunaskan saman tertunggak melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas
Menerusi laporan Berita Harian, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata saman tersebut merangkumi kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) [Saman 53A], Notis Temu Siasat [114] serta Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 [115].
Selain berdepan risiko disenarai hitam, pesalah trafik turut dikenakan kompaun yang dinaikkan kepada RM300, di samping pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

Kadar rata kompaun yang dikenakan RM150
"Justeru, mereka yang memiliki saman terbabit seharusnya mengambil peluang membuat pembayaran melalui tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan yang dilancarkan pada awal Januari lalu hingga akhir Disember ini.
"Mengikut laporan statistik bermula Januari sehingga semalam, sebanyak lebih 1.45 juta saman membabitkan Notis saman AWAS diikuti notis 114 sejumlah 296,684 dan notis 115 iaitu sebanyak 164,598.
"Ada antara saman yang dikenal pasti adalah notis yang dikenakan sejak lebih 15 tahun lalu dan JPJ masih membuka peluang kepada pengguna jalan raya untuk menjelaskan saman tertunggak bagi mengelak nama mereka disenarai hitam," katanya.
Terowong Menora antara lokasi paling tinggi catat saman
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, mendedahkan bahawa Terowong Menora, Ipoh, merupakan antara lokasi dengan rekod saman AWAS tertinggi, dengan jumlah yang boleh mencecah sehingga 3,000 saman sehari.
"Jumlah saman itu hasil daripada dua kamera yang dipasang dan kesalahan yang direkodkan banyak dilakukan pengguna jalan raya ketika musim perayaan atau cuti sekolah yang mana menggunakan laluan berkenaan untuk menghala ke utara atau selatan.
"Biasanya, kesalahan adalah membabitkan kenderaan yang melebihi had kelajuan yang dibenarkan iaitu 80 kilometer sejam (km/j).
"Selain itu, tiga negeri yang mencatat notis saman tertinggi adalah Selangor, Perak dan Johor yang mana rekod terbabit juga bergantung kepada jumlah pemasangan kamera AWAS di setiap negeri," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengambil peluang melangsaikan saman melalui tawaran kompaun khas pada kadar rata RM150 dengan diskaun 50 peratus yang sedang ditawarkan JPJ, sebelum tindakan penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan selepas ini.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 