Jerebu Teruk, Ibu Bapa Di Selangor Boleh Pilih Tak Hantar Anak Ke Sekolah
Bagaimanapun, Selangor menyaksikan empat kawasan mencatatkan penurunan bacaan IPU.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ibu bapa dan penjaga di Selangor diberi kelonggaran untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya tahap jerebu menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan mereka
Perkara ini dimaklumkan oleh EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin, sebagai langkah prihatin terhadap kesan pencemaran udara terhadap golongan berisiko seperti kanak-kanak.
Menerusi laporan Bernama, beliau memberitahu bagaimanapun ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran anak masing-masing kepada pihak sekolah.
"Pengetua dan Guru Besar juga diminta untuk memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa melalui laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membolehkan tindakan segera dan bersesuaian diambil," katanya.
Tambah beliau, semua sekolah di Selangor juga telah menerima surat siaran yang menggariskan langkah-langkah perlu diambil sekiranya bacaan IPU di kawasan sekolah mencapai paras tidak sihat iaitu melebihi 100 atau berbahaya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via NSTP/Mohd Radzi BujangMinta tangguh aktiviti luar kelas, empat kawasan mencatatkan penurunan bacaan IPU
Sementara itu, Beliau berkata langkah itu termasuk menangguhkan aktiviti luar kelas bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua murid berada dalam keadaan baik manakala semua sekolah mesti ditutup dengan serta-merta jika IPU melebihi 200.
Jamaliah berkata, setakat hari ini tiada kes penyakit yang dikaitkan dengan fenomena jerebu dilaporkan di Selangor dan dapatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengesahkan tiada kes strok haba direkodkan.
JKNS juga akan meneruskan pemantauan rapi terhadap penyakit yang berisiko meningkat akibat fenomena jerebu, termasuk jangkitan saluran pernafasan.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianTambah Jamaliah, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat kawasan utama di Selangor menunjukkan penurunan ketara berbanding sebelumnya iaitu Petaling Jaya (83), Klang (80), Banting (81) dan Johan Setia (88), berbanding bacaan sekitar 150 yang dicatat sebelum ini.
Dalam pada itu, kualiti udara di Shah Alam berada pada tahap sederhana itu 90 manakala Kuala Selangor mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 126, berbanding IPU 87 dan 86 yang direkodkan di kedua-dua kawasan itu semalam.
Jamaliah berkata JAS Selangor juga telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka antara lain bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ketika ini.
katanya surat arahan juga telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik ladang untuk mengambil langkah pencegahan dan kawalan ketat bagi mengelak kebakaran selain meningkatkan kempen kesedaran awam.
"Bagi memperkukuh pelaksanaan di lapangan, rondaan turut dijalankan di kawasan berisiko tinggi selain melaksanakan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) di kawasan hotspot yang dikenal pasti," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 