Isu Baju Luntur & Bertompok Tular, Jenama KHATAM Tampil Beri Penjelasan
Pihaknya memberitahu isu yang berlaku itu bukanlah standard kualiti yang ditetapkan oleh syarikat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jenama pakaian tradisional tempatan, KHATAM, baru-baru ini menjadi tular di media sosial apabila ramai pelanggan menyuarakan isu berkaitan pakaian keluaran mereka
Beberapa pengguna mendakwa baju yang dibeli mengalami masalah kelunturan warna dan tompokan selepas cucian pertama, sekali gus menimbulkan perbincangan dalam kalangan orang ramai.
Difahamkan, isu tersebut melibatkan baju daripada Siri Patawali, iaitu salah satu koleksi yang dikeluarkan oleh jenama berkenaan.
Perkongsian pelanggan yang mengalami masalah sama di media sosial turut menarik perhatian ramai dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembeli lain.

Tindakan segera sedang diambil bagi pelanggan yang terjejas
Susulan perkara itu, pihak KHATAM tampil memberikan penjelasan menerusi satu kenyataan rasmi.
Menurut mereka, syarikat mengambil maklum mengenai aduan yang melibatkan Siri Patawali dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelanggan.
"KHATAM mengambil maklum mengenai isu kelunturan dan tompokan warna pada Siri Patawali selepas cucian pertama. Kami ambil maklum dan memohon maaf atas kesulitan ini," menurut kenyataan tersebut.
Tambah mereka lagi, isu yang berlaku itu bukanlah standard kualiti yang ditetapkan oleh syarikat.
"Ini bukan standard kualiti yang kami tetapkan di KHATAM, dan kami mengambil perkara ini dengan serius. Fabrik Patawali yang kami gunakan adalah fabrik yang sama sejak 2016 tanpa menurunkan mutu dan kualiti fabrik," jelasnya.


Menurut kenyataan sama, sehingga 9 Mac 2026, pihak syarikat telah menerima 92 laporan berkaitan isu tersebut daripada pelanggan. Sehubungan itu, tindakan segera sedang diambil bagi membantu pelanggan yang terjejas.
Dalam masa yang sama, pihak KHATAM memaklumkan mereka kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 