Isu Air Botol Didakwa ‘Berbau Petai’, Spritzer Kini Telah Berjaya Kenal Pasti Punca Masalah
Difahamkan, mereka mengambil tindakan segera dengan menyemak semula kelompok pengeluaran tertentu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini, tular aduan daripada pengguna yang mendakwa air botol Spritzer yang dibeli mereka berbau kurang menyenangkan sehingga ada yang menyamakannya dengan bau petai
Susulan daripada maklum balas itu, pihak Spritzer Berhad (Spritzer) tampil menjalankan siasatan dalaman dan berjaya mengenal pasti punca sebenar isu berkenaan.
Mereka turut memaklumkan bahawa langkah-langkah penambahbaikan telah diambil segera bagi memastikan mutu produk terus konsisten dan menepati standard kualiti yang dijanjikan kepada pengguna.

Bau tersebut berpunca daripada ketidakseimbangan sementara dalam kandungan semula jadi air.
Dalam satu kenyataan rasmi, Spritzer memaklumkan bahawa siasatan komprehensif telah dijalankan, meliputi semakan dalaman secara terperinci, ujian makmal bebas, serta penilaian terhadap cara produk disimpan dan dikendalikan.
Sebagai jenama yang mengutamakan kualiti dan keselamatan pengguna, Spritzer telah melaksanakan siasatan menyeluruh demi memastikan ketelusan dan ketepatan dalam mengenal pasti isu yang timbul.
Siasatan ini merangkumi semakan dalaman terperinci, ujian makmal bebas, serta penilaian rapi terhadap kaedah penyimpanan dan pengendalian.
Hal ini penting kerana air mineral semula jadi sangat sensitif terhadap persekitarannya. Justeru, pendekatan sistematik diperlukan untuk menyingkirkan segala kemungkinan dan mencari punca sebenar secara tepat.

Daripada hasil siasatan, Spritzer mendapati bau luar biasa yang dilaporkan berpunca daripada ketidakseimbangan sementara dalam komposisi semula jadi air dari sumber asal. Keadaan ini didapati menjadi lebih ketara selepas proses pembotolan, terutamanya apabila produk terdedah kepada cuaca panas semasa penghantaran atau penyimpanan.
Spritzer juga menekankan bahawa hanya sebahagian kecil botol yang dihasilkan antara bulan Jun dan Julai 2025 terjejas.
Hasil ujian yang dijalakan oleh makmal bebas ke atas sampel daripada produk yang ditukar mengesahkan ianya selamat untuk diminum dan mematuhi sepenuhnya Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Sebagai tindakan susulan, Spritzer telah menambah baik sistem penapisan dan memperkukuhkan pemantauan kualiti harian bagi memastikan konsistensi produk dan kepercayaan pelanggan berterusan.
Menurut Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Spritzer, Dr. Chuah Chaw Teo, siasatan yang dijalankan mengesahkan bahawa isu bau luar biasa ini merupakan kejadian terpencil yang berpunca daripada variasi semula jadi dalam kandungan air, dan tidak melibatkan sebarang isu keselamatan.
"Kami telah bertindak pantas dengan menambah baik sistem penapisan dan memperketat protokol pemantauan bagi memastikan setiap botol Spritzer kekal dengan rasa segar dan kualiti yang dipercayai pelanggan," jelasnya.
Beliau turut mengakui bahawa situasi ini mungkin menimbulkan ketidakselesaan kepada segelintir pelanggan, dan pihak syarikat amat menghargai kesabaran serta pemahaman yang diberikan.
"Spritzer komited untuk mengekalkan standard tertinggi dalam setiap aspek pengeluaran dengan penuh ketelusan dan rasa tanggungjawab demi terus meraih kepercayaan pelanggan yang kami bina sejak sekian lama," tambah beliau.
Sementara itu, pelanggan yang terkesan dan memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi pasukan khidmat pelanggan Spritzer di talian bebas tol 1800-88-3111 atau e-mel ke [email protected].
Lihat kenyataan rasmi di bawah:


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 