Isteri Mangsa Dirempuh Pemandu Mabuk Lega Terima Pencen PERKESO Seumur Hidup
Kelayakan tersebut adalah hasil caruman penuh dan konsisten arwah sepanjang 15 tahun perkhidmatannya bersama majikan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Isteri kepada penunggang motosikal yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk pada 29 Mac lalu meluahkan rasa syukur apabila kebajikan keluarganya kini lebih terjamin menerusi pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata jaminan bayaran sepanjang hayat itu memberi kelegaan kepadanya untuk meneruskan kehidupan serta menumpukan perhatian terhadap masa depan dan pendidikan tiga anak mereka yang kini kehilangan ketua keluarga.
"Alhamdulillah, saya rasa sedikit lega dan bersyukur. Saya rasa suami betul-betul bertanggungjawab fikirkan keluarga…semua dia sediakan. Tadi saya tengok amaun (pencen), Alhamdulillah saya rasa bolehlah bernafas," katanya.
Terdahulu, PERKESO mengesahkan bahawa balu kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, layak menerima pencen bulanan sebanyak RM2,888.17 sepanjang hayat, manakala anak-anak mereka akan menerima manfaat sama sehingga mencapai usia 21 tahun.

Pencen bulanan seumur hidup
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata kelayakan tersebut adalah hasil caruman penuh dan konsisten arwah sepanjang 15 tahun perkhidmatannya bersama majikan.
"Arwah merupakan seorang pekerja yang setia dan majikannya sangat bertanggungjawab. Carumannya penuh tanpa sebarang kekurangan, sebab itu kita dapat sediakan bayaran pencen penuh kepada waris bagi memastikan masa depan keluarga ini terbela," katanya.
Selain pencen bulanan, PERKESO turut menyalurkan beberapa bentuk bantuan lain kepada keluarga arwah, termasuk:
- Faedah pengurusan jenazah sebanyak RM3,000
- Kemudahan bantuan pinjaman pendidikan untuk anak-anak pada masa hadapan
Langkah tersebut bertujuan memastikan kebajikan keluarga terus terpelihara walaupun kehilangan pencari nafkah utama.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nadia memaklumkan dia bercadang untuk pulang ke kampung halamannya di Batu Kurau, Perak selepas tamat tempoh edah. Beliau juga berhasrat mencari pekerjaan yang sesuai agar dapat menyeimbangkan tanggungjawab sebagai ibu tunggal tanpa mengabaikan keperluan anak-anak.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 