Isa Samad Kekal Dipenjara Enam Tahun & Denda RM15.45 Juta Kes Rasuah RM3 Juta
Mahkamah turut memerintahkan tambahan hukuman penjara selama 18 tahun sekiranya denda gagal dibayar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, kekal dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda berjumlah RM15.45 juta selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan berhubung sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta
Menurut laporan Harian Metro, keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nordin Hassan, sekali gus mengetepikan pembebasan Mohd Isa oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan telah membatalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Namun, keputusan tersebut dirayu oleh pihak pendakwaan ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah turut memerintahkan tambahan hukuman penjara selama 18 tahun sekiranya denda gagal dibayar
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM3.09 juta dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta.
Kes berkenaan berkait dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, pada harga RM160 juta oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd.
Mohd Isa didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Suapan itu didakwa sebagai ganjaran atas peranan Mohd Isa dalam memudahkan kelulusan pembelian hotel tersebut oleh FELDA Investment Corporation.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Mahkamah Persekutuan telah mendengar hujahan rayuan pendakwaan pada Khamis lalu sebelum menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan, yang menyaksikan hukuman asal terhadap Mohd Isa dikekalkan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 