Inovasi Pinggan Serai Hasil Pelajar SMK Dato’ Klana Putra Dari Negeri Sembilan Raih Emas Di Bali
Tak sangka serai pun boleh jadi pinggan, kreatif lah!
Cover image via Sinar BestariFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Klana Putra, Lenggeng, Negeri Sembilan berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila hasil inovasi mereka iaitu pinggan mesra alam berasaskan daun serai yang dinamakan 'Ecosera' berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa di Bali, baru-baru ini
Menurut laporan Sinar Bestari, walaupun hanya menggunakan bahan utama yang mudah didapati iaitu daun serai, pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Empat itu bersama dua guru pembimbing mereka, Cikgu Noor Shariffah Mohd Jaafar, 42 dan Nur Syafiqah Nadiah Farid, 30 membuktikan bahawa kreativiti yang besar mampu lahir daripada sumber yang ringkas.
Pertandingan yang menghimpunkan lebih 700 penyertaan dari seluruh dunia itu menyaksikan inovasi tempatan ini bersaing di pentas global.
Difahamkan, proses menghasilkan pinggan mesra alam itu mengambil masa hampir dua bulan, bermula dengan penyelidikan awal sehingga percubaan berulang kali.


"Mulanya kami rancang untuk menghasilkan sesuatu daripada kulit durian, tetapi disebabkan buah ini bermusim, saya cuba fikir sesuatu yang boleh dihasilkan dari daun serai.
"Saya kemudian buat pembacaan di media sosial, meneliti beberapa tesis universiti dan mendapatkan pandangan rakan-rakan, dari situ timbul idea untuk menghasilkan pinggan daripada daun serai," katanya.
Memandangkan tiada mesin digunakan, semua proses dilakukan secara manual
"Daun serai perlu direndam selama dua minggu untuk mengeluarkan serat sebelum disisir bagi membuang lendiran dan dipotong mengikut saiz ditetapkan.
"Proses itu ambil sedikit masa kerana kami buat semuanya secara manual. Serat daun tadi dicampur pula dengan kanji yang diperbuat daripada tepung ubi.
"Kemudian ia dibentuk menjadi pinggan dan dijemur di bawah cahaya matahari selama satu hari. Bila dah kering, perlu disapu dengan lilin madu untuk mampatkan lagi pinggan yang dibentuk," katanya.


Potensi dikomersialkan, bantu pengusaha serai tempatan
Cikgu Noor Shariffah percaya pinggan serai ini mampu dibangunkan ke tahap komersial jika dibantu dengan teknologi dan mesin yang bersesuaian.
Lenggeng yang terkenal dengan tanaman serai terutamanya 'serai peha ayam' yang menjadikan inovasi ini sangat relevan dan berpotensi membuka peluang pendapatan baharu.
"Ini projek pertama kami dan banyak lagi yang boleh ditambah baik. Jika ada peluang, saya berhasrat nak komersialkan pinggan serai ini. Matlamat utama saya membawa pelajar menyertai pertandingan ini adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka dan alhamdulillah usaha itu membuahkan hasil.
"Selalunya bahagian buangan serai selepas dituai hanya dibakar, tapi dengan inovasi ini, mampu memberikan sumber pendapatan baharu kepada pengusaha.
"Ada pihak penyelidik universiti telah menunjukkan minat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengkomersialkan produk berasaskan serai ini dan ini peluang yang baik buat sekolah," katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa sudah ada pihak universiti yang berminat untuk menjalankan penyelidikan lanjut bagi mengkomersialkan inovasi tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



