Impian Bersalin Normal Musnah IUCD Tembus Dinding Rahim, Wanita Kini Derita Gara-Gara Doktor Cuai
Dia mendakwa berlaku kecuaian ketika doktor memasang IUCD yang menyebabkan rahimnya bocor.
Cover image via Damia Asyiqin (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang ibu muda, Nurul Damia Asyiqin Ayub, 27, berdepan detik hitam apabila prosedur pemasangan alat perancang kehamilan (IUCD) di sebuah klinik kesihatan di Pekan Nanas didakwa mengakibatkan rahimnya bocor
Menerusi laporan Berita Harian, selain kecederaan rahim, mangsa turut mendakwa apendiksnya pecah serta mengalami luka pada usus kecil dan besar, yang menyebabkannya tidak lagi boleh melahirkan anak secara normal seumur hidup.
Kejadian yang berlaku pada 19 Disember lalu, sejurus selepas mangsa selesai berpantang anak kedua, telah membawa kepada laporan polis pada 21 Disember.
Mangsa kini merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor terlibat atas dakwaan kecuaian dalam mengendalikan prosedur tersebut.

Rahim berada dalam keadaan baik sebelum pemasangan
Menurutnya, sebelum pemasangan dibuat, pemeriksaan ke atas rahimnya menunjukkan semuanya dalam keadaan baik.
"Ketika pasang IUCD tu, saya rasa kesakitan amat sangat pada perut seakan terburai, tetapi doktor memaklumkan ia normal.
"Doktor kemudian meminta saya ke bilik imbasan untuk melihat IUCD yang dipasang dan apabila imbasan dibuat, doktor memaklumkan ada benda pelik, lalu mengarahkan saya membuat X-ray.
"Ujian X-ray di klinik swasta itu mendedahkan doktor tersilap memasang IUCD hingga tertembus dinding rahim saya. Apabila saya pergi semula ke KK, mereka memaklumkan kes itu perlu dirujuk kepada doktor pakar kerana tidak boleh dikeluarkan di KK," katanya.
Merana seumur hidup akibat kesilapan pasang IUCD, terkilan doktor terbabit langsung tidak memohon maaf
Nurul Damia Asyiqin yang bekerja sebagai jurusolek terpaksa menjalani pembedahan perut di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2 Januari lalu bagi mengeluarkan semula alat IUCD tersebut.
Ibu kepada dua cahaya mata ini meluahkan rasa sedih memandangkan dia masih dalam proses penyembuhan selepas melahirkan anak kedua pada 27 Oktober 2025.
"Selesai dibedah, doktor memaklumkan rahim bocor dan saya tidak lagi boleh bersalin secara normal seumur hidup. Apendiks saya juga pecah, usus kecil dan usus besar juga ada luka.
"Saya rasa dunia gelap, akibat kesilapan memasang IUCD, saya merana seumur hidup dan terkilan doktor terbabit tidak meminta maaf langsung," katanya.
Nurul Damia Asyiqin yang masih trauma kini merancang tindakan undang-undang atas dakwaan kecuaian doktor yang mengakibatkan kecacatan kekal kepadanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien, mengesahkan penerimaan laporan tersebut dan telah merujuk kes berkenaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai kes Rujuk Lain Agensi (RLA).
"Pengadu tampil membuat laporan polis kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai RLA dan kita merujuknya kepada KKM untuk tindakan lanjut
"Pada laporan itu, mangsa mendakwa mengalami komplikasi selepas menjalani prosedur pemasangan alat perancang keluarga IUCD di KK sebelum mendapatkan rawatan lanjut di HSA," katanya.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad ketika dihubungi pula berkata, kes wanita terbabit kini dalam siasatan pihaknya.
"Laporan sudah dibuat kepada pihak KKM untuk siasatan lanjut," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



