Identiti 5 Remaja Didakwa Terlibat Kes Buli Zara Qairina Tidak Boleh Didedahkan Kepada Umum – SUHAKAM

SUHAKAM menggesa orang awam dan media supaya bertindak penuh tanggungjawab serta mematuhi undang-undang.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Identiti lima remaja yang bakal didakwa berkaitan kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, tidak boleh didedahkan kepada umum

Peringatan itu diberikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang menzahirkan kebimbangan berhubung perkara terbabit susulan lima remaja terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok (Rabu).

Justeru, SUHAKAM dalam satu kenyataan hari ini di Facebook, menggesa orang awam dan media supaya bertindak penuh tanggungjawab serta mematuhi undang-undang, khususnya membabitkan hak perlindungan kanak-kanak.

"Mereka berhak mendapat perlindungan penuh bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan berasaskan trauma, wakil guaman serta layanan yang adil.

"Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah atau sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman mereka, tidak boleh didedahkan kepada umum,"
katanya.

SAYS.com
Image via NSTPImage via

"Mahkamah Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup mengikut Seksyen 12 akta sama, dan hanya pihak berkepentingan dibenarkan hadir dalam prosiding" – SUHAKAM

Menurut SUHAKAM, perbuatan menerbitkan identiti kanak-kanak boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta 611 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, SUHAKAM menegaskan keutamaan kini adalah mengelakkan stigma berterusan terhadap kanak-kanak terbabit.

Suruhanjaya itu sekali gus meminta semua pihak membiarkan proses keadilan berjalan dengan tertib dan berpaksikan hak kanak-kanak serta kedaulatan undang-undang.

"Masyarakat perlu sedar bahawa buli, sama ada di sekolah atau dalam media sosial, tidak boleh diterima dalam apa jua bentuk," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok turut disaran mengemas kini dasar dalaman secara proaktif untuk mengesan serta memadam kandungan yang melanggar Akta Kanak-Kanak.

"Menunggu laporan atau permintaan untuk memadam kandungan, boleh membolehkan maklumat haram tersebar luas, sekali gus menjejaskan perlindungan yang dijamin oleh undang-undang," katanya.

SAYS.com
Image via SUHAKAM (Human Rights Commission of Malaysia)

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, semalam dilaporkan berkata lima remaja itu akan didakwa mengikut Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan atas pertuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam.

Pertuduhan terbabit adalah berhubung menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan rasmi, mengesahkan sudah meneliti kertas siasatan polis dan membuat keputusan menuduh beberapa individu berdasarkan keterangan yang ada.

Jabatan itu menegaskan walaupun keputusan dibuat untuk menuduh suspek atas kesalahan buli, ia tidak akan menjejaskan siasatan masih dijalankan oleh polis berhubung kes kematian Zara Qairina, termasuk prosiding inkues yang bakal dijalankan di mahkamah.

SAYS.com
Image via Bernama via Berita Harian

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: