IC Disalah Guna Scammer? Kini Anda Boleh Semak & Sekat Panggilan Mencurigakan
Syarikat telekomunikasi (telco) di Malaysia sedang melancarkan integrasi MyDigital ID dalam aplikasi mereka.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Syarikat telekomunikasi (telco) akan memulakan integrasi teknologi pengesahan identiti MyDigital ID ke dalam aplikasi mudah alih mereka bermula hari ini bagi memperkasakan keselamatan digital pengguna di Malaysia
Menerusi laporan Free Malaysia Today, inisiatif nasional yang bermula 1 Disember 2025 ini bertujuan melindungi pengguna daripada panggilan penipuan dan kecurian identiti, yang mana sering digunakan penjenayah melalui panggilan nombor telefon yang tidak disahkan atau disalah guna untuk mengeksploitasi mangsa.
Teknologi MyDigital ID akan memastikan setiap nombor telefon bimbit dikaitkan dengan identiti digital yang sah dan dipercayai, sekali gus membendung kes-kes jenayah sedemikian.
Mekanisme baharu ini mendapat sokongan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Tiga komponen pelaksanaan MyDigital ID tersebut adalah seperti berikut:
1. Pengesahan Nombor Prabayar Sedia Ada: Ini membolehkan pengguna menyemak dan mengesahkan semula semua nombor prabayar yang didaftarkan di bawah MyKad mereka, sekali gus menghalang penipu daripada mengeksploitasi kad pengenalan yang dicuri atau disalah guna.
2. Pendaftaran Kad SIM Baharu: Semua kad SIM baharu diwajibkan disahkan menggunakan aplikasi mudah alih telco melalui MyDigital ID pengguna, bagi memastikan nombor baharu tidak didaftarkan menggunakan butiran pengenalan individu lain
3. Pilihan Log Masuk Selamat: Pengguna diberikan pilihan untuk log masuk ke aplikasi telco menggunakan MyDigital ID. Ini menyediakan kaedah log masuk tunggal yang selamat, juga mampu mencegah pengambilalihan akaun dan akses tanpa kebenaran.

Ketiga-tiga komponen ini akan dilakukan secara berperingkat
Ketua Pegawai Eksekutif NACSA, Megat Zuhairy Megat Tajuddin, menjelaskan bahawa pelaksanaan penuh ketiga-tiga komponen ini akan dilakukan secara berperingkat.
"Pelancaran ini mungkin berbeza-beza mengikut penyedia. Sesetengah telco mungkin bermula dengan satu komponen, ada yang melaksanakan dua, dan penggunaan penuh kesemua tiga akan berlaku secara berperingkat dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau menegaskan bahawa tujuan utama inisiatif ini adalah untuk membendung penipu dan pelaku fraud daripada mengeksploitasi kad SIM yang tidak disahkan untuk aktiviti jenayah.
"MyDigital ID memainkan peranan penting dalam usaha ini kerana proses pengesahannya merujuk terus kepada rekod rasmi kerajaan yang dilindungi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Inisiatif pelbagai pihak berkepentingan ini dibina atas asas Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030, yang dipimpin oleh Nacsa bagi memastikan ekosistem siber Malaysia kekal selamat dan berdaya tahan terhadap ancaman semasa dan yang akan datang," katanya.
Dalam pada itu, anda dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi MyDigital ID jika belum berbuat demikian, seterusnya menyemak aplikasi telco anda untuk ciri baharu dan mengesahkan nombor anda, kerana sesetengah penyedia mungkin melancarkannya secara berperingkat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 