Ibu Zayn Rayyan Diperintah Bela Diri, Bapa Pula Dilepas & Dibebaskan – Mahkamah
Suasana hiba menyelubungi keluarga tertuduh, sejurus hakim membacakan keputusan.
Cover image via Berita RTMFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini memerintahkan ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Ismanira Abdul Manaf agar membela diri
Manakala bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.
Menurut laporan Berita RTM, Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan, 30, pada akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Ismanira, 30, membela diri atas pertuduhan sama.

Orang ramai dan pengamal media berkumpul di luar bangunan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin yang dibunuh.
Image via Sinar HarianSuasana hiba menyelubungi keluarga tertuduh, sejurus hakim membacakan keputusan.
Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan
Hakim Dr Syahliza dalam penghakiman ringkasnya berkata, setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara penilaian maksimum, serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan.
"Oleh itu, tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, manakala bagi tertuduh kedua (Ismanira), mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua dan dia dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Allahyarham Zayn Rayyan
Image via Kosmo!Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



