Ibu 4 Anak Menang Cabutan Bertuah RM1 Juta – “Rezeki Ramadan Datang Awal”
Sekelip mata jadi jutawan, bestnya!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang peguam dari Shah Alam tidak menyangka pelaburan yang dibuat dua tahun lalu akhirnya mengubah hidupnya apabila dinobatkan sebagai penerima pertama Cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat bagi Kategori Cabutan Jutawan Utama 2026
Normila Hussain, 51, membawa pulang RM1 juta selepas diumumkan sebagai pemenang utama dalam cabutan berkenaan.
Menurut laporan Berita Harian, ibu kepada empat anak itu mengakui dia pada awalnya tidak percaya ketika menerima panggilan memaklumkan dirinya sebagai pemenang.
Lebih manis, kemenangan itu disifatkannya sebagai rezeki menjelang Ramadan yang bakal tiba minggu hadapan.

"Ketika menerima panggilan daripada pihak Bank Rakyat minggu lalu, saya menyangka ia adalah. scammer. Hanya selepas menerima e-mail dari Bank Rakyat yang mengesahkan perkara itu, baru saya percaya sepenuhnya.
"Walaupun sudah dimaklumkan pada minggu lalu, hingga ke hari ini saya masih terkejut menjadi jutawan sekelip mata," katanya.
Hadiah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria.
Labur sejak dua tahun lalu
Menurut Normila, dia mula menyertai pelaburan itu dua tahun lalu dengan membuka akaun di cawangan Bank Rakyat Shah Alam.
"Saya melabur kerana tertarik dengan banyak manfaat dan keuntungan yang ditawarkan kepada pelabur berbanding bank lain.
"Hanya pada tahun lalu saya mengetahui berkenaan cabutan ini dan tidak sangka saya terpilih memenangi RM1 juta," katanya lagi.
Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Normila bagaimanapun berkata dia masih belum merancang bagaimana wang kemenangan tersebut akan digunakan.
RM10.8 juta ganjaran, empat jutawan bakal dilahirkan

Terdahulu, Bank Rakyat turut mengumumkan struktur hadiah dan ganjaran baharu bagi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus untuk tahun 2026 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10.8 juta.
Inisiatif itu dijangka melahirkan empat jutawan baharu sepanjang tahun ini.
Nor Haimee berkata, pengenalan struktur ganjaran baharu itu mencerminkan komitmen berterusan bank dalam menggalakkan amalan menyimpan dan melabur secara konsisten dalam kalangan masyarakat.
"Melalui Rizq Plus, kami bukan sahaja menawarkan peluang pelaburan patuh syariah, malah menyediakan ganjaran bermakna kepada pelanggan.
"Dengan jumlah hadiah RM10.8 juta, lebih ramai pelanggan berpeluang menjadi jutawan tanpa mengira latar belakang atau jumlah pelaburan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelanggan hanya perlu membuka akaun dengan pelaburan minimum RM100 untuk melayakkan diri menyertai cabutan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.
Sepanjang kempen ini, lebih 10,000 pemenang dijangka menerima ganjaran, dengan Rizq Plus 2026 menampilkan 15 kategori cabutan bertuah termasuk kategori Jutawan Utama.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 