Hero Dalam Pesawat, Doktor Tengah Cuti Bantu Selamatkan Penumpang Dalam Penerbangan Ke Miri
Rata-rata warganet menyanjung beliau sebagai 'doktor wira di udara'.
Cover image via @citichaserpickleball (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita yang mengalami kecemasan dalam pesawat Malaysia Airlines MH2574 pada Sabtu lalu tidak menyangka akan bertemu 'wira tanpa jubah' dalam diri Dr Chung Ghi Waie, pakar pediatrik di Selesa Pacific Hospital
Ketika kejadian, Dr Chung sebenarnya sedang dalam perjalanan pulang dari percutian ke Jepun dan sepatutnya menikmati masa rehatnya.
Namun, suasana tenang dalam kabin bertukar cemas apabila seorang penumpang wanita tiba-tiba sesak nafas dan mengadu sakit dada.
Tanpa berfikir panjang, Dr Chung segera bangun menyahut panggilan kecemasan anak kapal.
Walaupun jauh daripada bilik pembedahan dan tanpa kelengkapan perubatan lengkap, beliau berjaya menstabilkan keadaan penumpang berkenaan sehingga pesawat mendarat di Miri di mana ketika itu wanita tersebut sudah kembali bernafas dengan normal.

Dr Chung dengan rendah hati menolak gelaran 'wira'
Tindakan spontan dan keberanian Dr Chung bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah menyentuh hati ramai apabila ibu serta abang penumpang itu meluahkan rasa syukur di media sosial. Rata-rata warganet menyanjung beliau sebagai 'doktor wira di udara'.
Kisah itu turut dikongsikan oleh kelab yang dipimpinnya, Citi Chaser Pickleball Club, di laman Facebook dan Instagram rasmi mereka.
"Ramai antara kita mungkin masih dalam 'mood percutian', tetapi seorang penyembuh sejati tidak pernah mematikan naluri kemanusiaannya," tulis hantaran tersebut.
Mereka turut memetik kata-kata tokoh perubatan terkenal Hippocrates:
"Wherever the art of medicine is loved, there is a love of humanity."
"Dan kami melihat kasih itu dalam diri anda, Kapten Dr Chung."
Namun, Dr Chung dengan rendah hati menolak gelaran 'wira', ketika ditemu bual oleh The Borneo Post.
"Saya tidak anggap diri sebagai wira. Saya cuma menjalankan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan untuk membantu ketika diperlukan.
"Saya bersyukur dapat memberi bantuan dan memastikan penumpang menerima rawatan segera."
Dalam nada berseloroh, kelabnya menutup hantaran dengan kapsyen jenaka:
"Dan ya, @malaysiaairlines kami dengan sepenuh hati mencalonkan Dr Chung untuk penerbangan bulan madunya nanti."
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



