Hasrat Rizalman Bina Surau Ar-Rijal Bernilai RM1.5 Juta Di Pulau Pinang Kini Jadi Kenyataan
Difahamkan, Surau Ar-Rijal itu dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkeluasan kira-kira 0.16 ekar (0.065 hektar).
Cover image via BernamaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim, menzahirkan rasa syukur dan terharu atas peluang merasmikan Surau Ar-Rijal yang bernilai RM1.5 juta di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, Pulau Pinang
Memetik laporan Berita Harian, pembinaan surau yang tersergam indah ini merupakan simbol kejayaan hasil daripada penyatuan hati masyarakat yang menyumbang melalui Yayasan Rizalman Ibrahim.
Menurut beliau, dana yang dikumpul bagi merealisasikan projek ini datangnya daripada sumbangan orang ramai serta pihak persendirian, sekali gus membuktikan betapa kuatnya semangat kerjasama dan ukhuwah antara komuniti setempat.
Datuk Rizalman menyifatkan pembinaan surau tersebut sebagai satu pencapaian yang amat bermakna dalam hidupnya, apatah lagi beliau tidak pernah menjangkakan bakal terlibat secara langsung dalam penyediaan rumah ibadah bagi kegunaan komuniti.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum dan tersentuh melihat komitmen luar biasa para penyumbang yang membolehkan projek murni itu disiapkan sepenuhnya dalam tempoh hanya setahun.
"Saya tidak pernah terfikir akan terbabit dalam pembinaan rumah Allah di kawasan ini. Namun, Allah mempermudahkan segala urusan dan saya amat bersyukur.
"Jarang ada projek yang bergantung sepenuhnya kepada dana orang ramai dan penyumbang persendirian dapat berjalan dengan begitu lancar. Ini semua adalah nikmat Allah yang sangat luar biasa," katanya.

Projek Surau Ar-Rijal bukti ketelusan dan amanah yayasan
Datuk Rizalman menegaskan bahawa kejayaan pembinaan Surau Ar-Rijal merupakan testimoni kepada integriti yayasannya dalam menguruskan dana awam secara telus dan amanah.
Walaupun beliau menyuntik elemen kepakaran seninya dalam reka bentuk, surau tersebut tetap mementingkan konsep kesederhanaan yang sesuai dengan fungsi hakikinya sebagai rumah ibadah.
Bagi beliau, kemuliaan surau itu tidak hanya bergantung kepada nilai estetika semata-mata, tetapi lebih kepada peranannya sebagai pusat penyatuan ummah melalui pelbagai aktiviti keagamaan.
Tambah beliau, projek ini juga menjadi platform bagi orang ramai untuk bersama-sama merebut pahala amal jariah dengan menyumbang kepada pembangunan rumah Allah, walaupun secara kecil-kecilan.
"Surau Ar-Rijal menjadi bukti kesungguhan dan keikhlasan mampu merealisasikan sesuatu yang pada awalnya kelihatan mustahil.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma, sukarelawan serta penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan pembinaan surau ini," katanya.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



