Harimau Malaya Kini Semakin Pupus, CAP Seru Penguatkuasaan Lebih Tegas Dilaksana
Populasi harimau Malaya dianggarkan kurang daripada 150 ekor, menempatkan spesies ini pada tahap kepupusan yang kritikal.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menzahirkan kebimbangan yang amat mendalam terhadap kelangsungan hidup harimau Malaya yang kini dilaporkan berada pada tahap yang sangat kritikal
Menurut laporan Bernama, berdasarkan anggaran terkini, populasi spesies ikonik ini hanya berbaki kurang daripada 150 ekor di habitat liar, sekali gus meletakkan haiwan kebanggaan negara itu di ambang kepupusan yang nyata.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader memberitahu ancaman kepupusan ini tidak boleh dipandang sebagai isu pemuliharaan alam semula jadi semata-mata.
Beliau menegaskan bahawa kemerosotan populasi ini merupakan satu krisis nasional yang serius kerana ia bakal membawa impak besar terhadap kestabilan ekologi serta menjejaskan warisan budaya yang menjadi identiti negara.

Pemburuan haram, penyusutan sumber makanan antara spesies itu ke arah kepupusan
Tambah Mohideen, pelbagai ancaman yang tidak berkesudahan seperti aktiviti pemburuan haram, kekurangan sumber makanan di hutan, serta konflik yang berlarutan antara manusia dan harimau telah menjadi faktor utama yang menghimpit spesies tersebut.
"Antara 2023 hingga 2024 sahaja, enam kematian harimau dilaporkan akibat kemalangan jalan raya, malah tahun lalu bangkai seekor harimau ditemui disorok dalam but kereta dengan enam kesan tembakan di kepala," katanya dalam kenyataan.
Mohideen turut menekankan bahawa aktiviti perdagangan global melibatkan kulit dan gigi harimau bagi tujuan pembuatan azimat kekal menjadi ancaman yang membimbangkan.
Beliau kesal kerana kepercayaan tradisional yang tidak berasas secara saintifik ini terus memacu permintaan tinggi terhadap organ haiwan tersebut di pasaran gelap.
Sehubungan itu, CAP menggesa pelaksanaan langkah yang lebih drastik, merangkumi penguatkuasaan antipemburuan yang lebih ketat, penambahan bajet rondaan, serta usaha membanteras rasuah dalam sindiket jenayah hidupan liar.
Beliau juga mencadangkan agar kawasan hutan dilindungi dan dihubungkan semula, selain memperkasakan peranan masyarakat Orang Asli sebagai barisan hadapan dalam usaha pemuliharaan khazanah negara ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 