Hanya Berteman Patung Mainan, Anak Monyet Terbiar Akhirnya Diterima Sebuah Keluarga
Penerimaan itu memberikan Punch keyakinan untuk berinteraksi dengan kumpulan, walau masih bergantung pada 'ibu tumpang'.
Cover image via ReutersFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kisah menyayat hati melibatkan seekor anak monyet bernama Punch akhirnya menemui penghujung yang bahagia di Zoo Bandar Ichikawa, Jepun
Anak monyet jenis macaque yang baru berusia enam bulan ini sebelum ini menjadi bualan hangat di media sosial selepas rakaman memilukan menunjukkan dia terpaksa berpaut pada sebuah patung orang utan mainan untuk mencari ketenangan.
Keadaan tersebut berlaku selepas Punch dikesan mengalami trauma akibat diabaikan oleh ibu kandungnya sendiri, menyebabkannya terkapar kesepian tanpa kasih sayang semula jadi.
Memetik laporan Daily Mail, pihak pengurusan zoo mendedahkan bahawa usaha awal untuk menyatukan Punch dengan kumpulannya sering menemui kegagalan kerana dia berulang kali dipinggirkan dan ditolak oleh macaque yang lain.
Video yang memaparkan Punch memeluk erat patung berkenaan bukan sahaja menyentuh perasaan netizen di seluruh dunia, malah menimbulkan simpati yang mendalam terhadap nasibnya.
Bagaimanapun, penantian Punch untuk memiliki keluarga sebenar akhirnya tercapai apabila dia mula menunjukkan keserasian luar biasa dengan seekor monyet lain bernama Onsing.

Punch kini temui 'pelindung'
Perjalanan sukar anak monyet itu akhirnya menemui sinar baharu apabila video tular di media sosial menunjukkan seekor monyet dewasa, Onsing, memeluknya erat dalam kandang mereka.
Dalam rakaman tersebut, Punch dilihat dipeluk kemas ketika mereka memanjat dinding batu bersama.
Onsing sentiasa berada di sisinya, malah membantu menolak dan menarik Punch ketika mendaki. Ketika bunyi pagar besi berdentang dan mengejutkannya, Punch segera merapat dan berlindung dalam pelukan monyet dewasa itu.
Satu lagi video menyaksikan kedua-duanya berehat di tepi dinding batu, dengan Onsing memegang Punch rapat sambil mereka bergoyang perlahan dalam suasana penuh kasih sayang.


Sebelum ini, Punch mencuri perhatian ramai apabila rakaman memaparkannya bergantung sayu kepada penjaga zoo serta memeluk patung orang utan kesayangannya menjadi tular.
Disebabkan ditolak oleh ibunya sejak lahir, Punch dibesarkan dalam persekitaran buatan dan diberikan selimut serta mainan untuk menenangkan emosinya. Dia kemudian memilih patung orang utan tersebut dan sering memeluknya ketika tidur atau ketika mendekati monyet lain.
Punch yang dilahirkan pada Julai lalu mula dilatih untuk kembali bersama kumpulannya bulan lepas. Namun, beberapa video menunjukkan dia dibuli oleh monyet lain, termasuk dimarahi dan ditarik oleh seekor monyet dewasa.
Pihak zoo mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai memberi sokongan kepada Punch dalam proses sosialisasinya, sambil menjelaskan bahawa tiada tanda pencerobohan serius dalam kumpulan tersebut. Mereka turut menyatakan Punch menunjukkan kekuatan mental dan daya tahan yang baik.
Tanda pagar #HangInTherePunch kemudian menjadi tular, menarik lebih 100 pengunjung yang berkumpul di sekitar kandang untuk memberi sokongan.
Kini, Punch akhirnya ditemani 'sahabat selamanya' di sisinya, membuatkan para peminat menarik nafas lega melihat anak monyet yang sebelum ini keseorangan itu semakin diterima dalam kumpulannya.

Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



