Graduan Nanofizik UMT Jadi Buruan Industri Berteknologi Tinggi, Belum Konvo Dah Dapat Kerja Bergaji RM3,000 Ke Atas!
Kejayaan graduan Nanofizik secara tidak langsung mengangkat nama UMT sebagai antara institusi yang berjaya melahirkan graduan STEM yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Walaupun bunyinya macam bidang yang 'berat', siapa sangka Nanofizik kini jadi antara program paling laku keras di pasaran kerja Malaysia
Buktinya, majoriti graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Nanofizik) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sudah menerima tawaran kerja bergaji lebih RM3,000 sebulan sebelum sempat naik pentas konvokesyen!
Menurut laporan Sinar Bestari, graduan Nanofizik UMT kini menjadi buruan syarikat teknologi, makmal penyelidikan dan institusi berteknologi tinggi di seluruh negara termasuk Lembah Klang, selatan dan utara tanah air.
Antara sektor yang paling berminat merekrut mereka ialah semikonduktor dan bahan termaju (advanced materials) iaitu dua bidang yang sedang berkembang pesat seiring dengan pelaburan besar dalam industri teknologi Malaysia.

Menurut Ketua Program Nanofizik UMT, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Oon Jew, pencapaian luar biasa ini adalah bukti keberkesanan Program Mod 2u2i, yang membenarkan pelajar menjalani pembelajaran berasaskan kerja selama setahun di industri sebenar
"Sepanjang tempoh latihan industri, pelajar bukan sekadar belajar secara teori, tetapi turut membuktikan kemampuan mereka dalam menyelesaikan masalah sebenar di tempat kerja. Ramai antara mereka menerima tawaran bekerja sebelum menamatkan pengajian," jelasnya.
Program itu menjadikan graduan UMT bukan sekadar tahu apa itu teori, tetapi juga tahu bagaimana untuk melaksanakannya dalam situasi dunia sebenar dan satu kelebihan besar yang dicari oleh majikan dalam sektor teknologi tinggi.
Selain pengetahuan mendalam dalam nanoteknologi dan fizik gunaan, pelajar Nanofizik UMT juga dibentuk dengan kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan.

"Keupayaan pelajar menggabungkan kemahiran teknikal, komunikasi dan penyelesaian masalah menjadikan mereka aset berharga dalam dunia pekerjaan yang semakin berasaskan teknologi tinggi," tambahnya.
Ini menjadikan graduan UMT bukan sekadar pakar makmal, tetapi profesional yang mampu berinteraksi, berinovasi dan berfikir secara strategik, selari dengan keperluan industri semasa.

Kejayaan graduan Nanofizik dari UMT jadi bukti antara institusi yang berjaya melahirkan graduan STEM yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja
Lebih penting, ia membuka mata ramai tentang potensi besar bidang seperti nanosains, semikonduktor dan teknologi bahan termaju, iaitu bidang yang bakal memainkan peranan penting dalam hala tuju industri negara menuju masa depan berasaskan teknologi tinggi.
UMT sebelum ini dikenali dengan kekuatan dalam bidang sains marin, namun kini universiti tersebut terus memperkukuh bidang sains gunaan dan teknologi canggih melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar (experiential learning).
Langkah ini selaras dengan matlamat UMT untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran industri global.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 