Gara-Gara Promosi Vape Dalam Podcast, Shuib Sepahtu Didenda RM10,000
KKM menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap Shuib.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelawak terkenal dan usahawan, Shuib Sepahtu dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mempromosikan produk rokok elektronik (vape) dalam podcast miliknya, Dol's Podcast, dua tahun lalu

Menurut laporan Harian Metro, hukuman itu diputuskan oleh Majistret Ezrene Zakariah yang turut menetapkan Shuib boleh dipenjara sehingga setahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, didakwa selaku penerbit program kerana mempromosikan produk Soundvape menerusi episod Dol's Podcast yang dimuat naik di saluran YouTube.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 9 (3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM20,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan kerana Shuib merupakan selebriti terkenal dan tindakannya boleh mempengaruhi orang ramai, khususnya pengikut setianya

Menurut pendakwaan, kepentingan awam perlu diberi keutamaan berbanding kepentingan peribadi tertuduh.
Walau bagaimanapun, peguam Shuib memohon hukuman denda minimum, memaklumkan bahawa video promosi berkenaan telah dipadamkan dari YouTube dan anak guamnya menyesal serta berjanji akan mematuhi undang-undang.
Dalam prosiding sama, pemilik Soundvape merangkap pengarah Bangsawan Distribution Sdn Bhd, Mohd Redzuan Hamizan Rahim, 33, turut mengaku bersalah menaja promosi tersebut.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara setahun jika gagal membayar denda hukuman sama seperti Shuib.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 