Gara-Gara Driver Bas Mogok, Ribuan Pekerja Malaysia-Singapura Terpaksa Jalan Kaki Rentas Tambak Johor
Difahamkan, kira-kira 100 pemandu bas mendakwa gaji mereka dipotong secara tidak adil.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ribuan pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura hari ini terjejas apabila kira-kira 100 pemandu bas mengadakan mogok bermula jam 5 pagi tadi
Menurut laporan Berita Harian, situasi itu menyebabkan pekerja yang sepatutnya mengejar waktu bekerja di Singapura terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan beberapa lokasi hentian bas utama di Johor Bahru.
Salah seorang pekerja restoran di Singapura, Munir Selamat, 34, terkejut melihat keadaan di BSI seawal jam 6.30 pagi apabila barisan untuk menaiki bas itu sesak luar biasa.
Selepas menunggu hampir setengah jam, dia dan pekerja Malaysia di Singapura yang lain mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari BSI merentas Tambak Johor untuk ke Singapura yang berjarak kira-kira 1.05 kilometer (km).
"Saya dan yang lain terkejut dan terpinga-pinga apabila mendapati barisan untuk menaiki bas ke Singapura sangat panjang sebelum diberitahu pemandu bas mogok hari ini.
"Kami tiada pilihan lain selain untuk berjalan kaki masuk ke Singapura kerana tidak mahu terlewat memulakan kerja sehingga menjejaskan kami juga nanti," katanya.


Pemandu bas dakwa gaji dipotong secara tidak adil
Seorang pemandu bas yang hanya mahu dikenali sebagai Atoi, 35, memaklumkan bahawa kira-kira 100 pemandu mengambil keputusan untuk mogok kerana tidak berpuas hati dengan penyelarasan gaji baharu oleh pihak syarikat.
"Penyelarasan gaji terbaru yang berkuatkuasa dua bulan lalu kami anggap melampau kerana ia menyebabkan pendapatan kami berkurangan ketara di saat kenaikan kos sara hidup.
"Contohnya sebelum ini pemandu bas Malaysia ke Singapura diberi gaji antara RM2,800 hingga RM2,900 sebulan, namun penyelaras gaji dibuat menyebabkan kami hanya mendapat gaji tidak sampai RM2,000 sebulan.
"Ini tidak termasuk syarat wajib yang tidak adil ditetapkan iaitu penambahan perjalanan wajib daripada empat kepada lima yang menjejaskan tuntutan lebihan perjalanan selain pemotongan gaji yang tidak jelas," katanya.
Kerajaan negeri turun padang, tiada makluman rasmi daripada syarikat bas
Difahamkan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh sedang mengadakan pertemuan dengan pihak syarikat dan pemandu bas bagi mencari jalan penyelesaian segera.
Setakat jam 10.30 pagi, sebahagian kecil pemandu dilaporkan bersetuju untuk meneruskan perjalanan, namun ramai yang masih berpegang kepada keputusan mogok.
Sementara itu, tinjauan di laman Facebook rasmi syarikat bas yang terlibat mendapati tiada sebarang notis mengenai isu perjalanan bas ke Singapura yang terjejas hari ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 