Gambar Duit Syiling Malaysia Di Patung Perisik Yang Dimuat Naik CIA Cetus Tanda Tanya

Ketiga-tiga syiling itu masih baharu, ditempa pada tahun 2017 dan 2018.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) mencuri perhatian apabila memuat naik sekeping foto menunjukkan tiga keping syiling Malaysia

Difahamkan, duit syiling itu ditemui di kaki patung peringatan perisik Amerika terkenal, Nathan Hale, di hadapan ibu pejabat mereka di Langley, Virginia.

Menerusi hantaran dalam siri mingguan media sosial mereka yang dinamakan 'Artifact of the Week', CIA berkongsi imej syiling 20 sen, 10 sen dan 5 sen yang kesemuanya kelihatan masih baharu, ditempa pada tahun 2017 dan 2018.

Menariknya, pada permukaan syiling itu turut terdapat tanda dakwat hitam berupa lakaran ringkas yang menyerupai seorang budak lelaki, seorang budak perempuan dan juga tapak kaki haiwan. Ini menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan dalam kalangan warganet.

CIA turut menyertakan pautan ke laman rasmi mereka untuk menjelaskan tentang patung peringatan Nathan Hale

Menurut CIA, Hale diiktiraf sebagai pegawai risikan pertama Amerika Syarikat, dan patung beliau didirikan di luar ibu pejabat asal agensi itu sebagai penghormatan atas keberanian dan kesetiaan beliau kepada negara.

"Patung ini merakam detik sebelum Hale dihukum gantung, seorang pemuda berusia 21 tahun yang bersedia mengorbankan nyawa demi negaranya, dengan tangan dan kaki terikat, wajah penuh keteguhan dan mata merenung jauh ke hadapan," jelas entri itu.

CIA menjelaskan bahawa patung tersebut berfungsi sebagai simbol kekal untuk mengingatkan para pegawai risikan tentang tanggungjawab dan pengorbanan yang perlu ditanggung dalam menjalankan tugas.

Menariknya, sejak sekian lama wujud satu tradisi yang masih diamalkan hingga ke hari ini. Pegawai risikan akan meninggalkan sekeping syiling di kaki patung Hale sebelum berlepas untuk tugasan luar negara.

Mengikut lagenda, tindakan itu dipercayai membawa tuah dan sebagai tanda memohon perlindungan daripada semangat Hale agar mereka kekal selamat sepanjang misi.

SAYS.com

Patung peringatan Nathan Hale.

Image via Central Intelligence Agency

Sepanjang bertahun-tahun, menurut CIA, satu tradisi telah berkembang di mana para pegawai akan meninggalkan syiling di patung Hale sebelum dihantar ke luar negara

"Menurut lagenda, tindakan itu akan membawa tuah dan memastikan Hale akan menjaga keselamatan para pegawai semasa menjalankan misi mereka," kata kenyataan itu.

Kebiasaannya, pegawai akan meninggalkan sekeping syiling 25 sen AS yang memaparkan wajah George Washington, ketua Hale semasa Perang Revolusi Amerika.

Namun, ada juga yang memilih untuk meninggalkan 76 sen sebagai memperingati tahun 1776, iaitu tahun Hale meninggal dunia, atau "mata wang asing kecil dengan tanda peribadi seperti ini", merujuk kepada syiling Malaysia tersebut.

CIA tidak menghuraikan lanjut mengenai syiling yang dipaparkan

Bagaimanapun agensi itu memaklumkan bahawa semua syiling yang ditinggalkan di patung tersebut akhirnya akan dikumpulkan oleh Muzium CIA dan disumbangkan kepada CIA Officers Memorial Foundation serta Third Option Foundation, iaitu dua organisasi yang menyokong pegawai yang tercedera dan keluarga ejen yang terkorban.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik