Food Bank Malaysia Terpaksa ‘Gulung Tikar’, Tiada Dana Untuk Teruskan Kafe Makan Percuma
Difahamkan, kafe tersebut dibuka ketika negara berdepan pandemik Covid-19 sekitar tahun 2020.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kafe makan percuma yang selama ini menjadi tempat gelandangan dan golongan miskin mengisi perut di Alor Setar, Kedah, akhirnya terpaksa ditutup
Menurut laporan Harian Metro, Food Bank Malaysia, yang mengendalikan kafe itu sejak tahun 2020, mengesahkan operasi dihentikan pada 12 Julai lalu selepas tiada lagi sumbangan diterima untuk menampung kos bulanan.
Menurut pengasasnya, Mohd Azrul Mohd Razak, mereka memerlukan kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 setiap bulan bagi memastikan kafe makan percuma itu dapat terus beroperasi.

"Setiap bulan kami memerlukan RM4,000 hingga RM5,000 untuk tujuan amal ini. Melalui jumlah itu, kami dapat membantu kira-kira 60 hingga 80 individu untuk sekali makan," katanya.
Difahamkan, kafe tersebut sebelum ini dibuka ketika negara berdepan pandemik Covid-19 sekitar tahun 2020
Sejak itu, ia menjadi lokasi tetap untuk agihan makanan percuma kepada gelandangan, golongan miskin dan asnaf sekitar Alor Setar.
Bagi Mohd Azrul, kafe makan percuma ini bukan sekadar tempat makan, tapi juga peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.

"Apabila kita mula mewujudkan program ini, ia bukan sekadar memberi faedah kepada golongan (gelandangan dan miskin) datang makan di kafe, tetapi memberi peluang pekerjaan kepada asnaf dan ibu tunggal yang membantu memasak di kafe.
"Golongan ini yang membantu membersihkan cucian (pinggan mangkuk) di kafe ini turut diberikan elaun," katanya.
Selain menjadi tempat untuk mengisi perut, kafe ini juga berfungsi sebagai ruang komuniti bagi golongan kurang bernasib baik untuk bersembang, bersosial dan berkongsi masalah sesama mereka.
Food Bank Malaysia berharap akan ada pihak yang sudi tampil membantu agar kafe itu dapat beroperasi semula.
Bagi sesiapa yang mahu menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut, boleh terus menghubungi Mohd Azrul di talian 012-4227690 atau Food Bank Malaysia di 012-9960559.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 