Filem Soloz: Game Of Life Tembusi Pasaran Luar Negara, Kini Ditayangkan Di Lebih 80 Pawagam Thailand
Semoga dapat kutipan banyak!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Filem biografi e-sukan Soloz: Game of Life terus mencipta momentum luar biasa apabila secara rasmi menembusi pasaran Thailand dan bakal ditayangkan di lebih 80 pawagam seluruh negara bermula hari ini
Menurut laporan Harian Metro, pencapaian itu dianggap satu kejayaan besar, bukan sahaja buat syarikat penerbitan Key Billions Sdn Bhd, tetapi juga industri filem tempatan yang jarang mendapat akses luas ke pasaran Thailand.
Penerbit filem, Rahila Ali, mengakui perkembangan ini berada di luar jangkaan mereka.
"Alhamdulillah, saya sendiri tidak pernah terbayang filem ini mampu pergi sejauh ini. Ia satu pengiktirafan besar untuk Key Billions dan seluruh pasukan produksi yang bertungkus-lumus menyiapkan filem ini," katanya.

Lakonan, naratif & visual jadi kekuatan utama
Arahan Syafiq Yusof ini mengangkat kisah perjalanan ikon e-sukan negara, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz, yang membina nama dalam arena Mobile Legends: Bang Bang.
Menurut Rahila, proses membawa filem ini ke Thailand bukannya mudah memandangkan negara itu sangat selektif terhadap kemasukan filem luar.
"Pasaran Thailand menilai setiap filem luar dengan teliti. Namun kami percaya pada kekuatan cerita, visual dan emosi Soloz: Game of Life. Dengan sokongan rakan pengedaran, akhirnya peluang itu terbuka," katanya lagi.
Untuk pasaran Thailand, Key Billions bekerjasama dengan Mstudio, syarikat pengedaran yang kukuh dalam pasaran tempatan serta mempunyai rangkaian antarabangsa.
"Mereka tertarik dengan gabungan lakonan sebenar dan elemen CGI (imej janaan komputer) yang memberi sentuhan moden. Visual pertembungan antara dunia realiti dan dunia permainan juga dilihat mampu menarik penonton muda, terutama peminat Mobile Legends di Thailand," ujarnya.

Bagi memastikan pengalaman tontonan lebih dekat dengan penonton tempatan, Soloz: Game of Life turut dialih suara sepenuhnya ke bahasa Thai.
Sebuah Majlis Gala dan Tayangan Perdana telah diadakan di Bangkok, dihadiri pelakon utama Hun Haqeem serta Pengasas dan Penerbit Eksekutif Key Billions, Eddie Yap.
Selain Hun, filem ini turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Imran Aqil, Syafie Naswip, Wafiy A'an, Noki K-Clique, Fimie Don, Kahoe Hon, dan Nia Atasha.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 