Fazura Umum Bersara Lakonan Daripada Semua Drama Di Stesen TV Malaysia
Beliau turut diperkenalkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif bagi Koleksi Raya Jakel 2026.
Cover image via @missfazura (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bintang popular tanah air, Nur Fazura Sharifuddin, 43, secara rasmi mengumumkan pengundurannya daripada dunia lakonan bagi projek drama bersiri di seluruh stesen televisyen tempatan
Berdasarkan laporan Berita Harian, keputusan besar ini diambil oleh Fazura setelah mempertimbangkan pelbagai aspek, terutama keinginan beliau untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pertumbuhan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, yang kini telah mencecah usia enam tahun.
"Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, jadi saya bercakap dengan beralas. Buat masa ini, secara rasminya saya bersara daripada berlakon drama di semua stesen TV di Malaysia.
"Dari segi filem pula, saya masih terbuka bergantung kepada projek. Fokus saya kini lebih kepada filem, sama ada di Malaysia atau Indonesia.
"Namun untuk drama, memang secara rasmi saya bersara daripada semua lakonan drama di stesen TV tempatan," katanya.
Kenyataan tersebut dikongsikan beliau ketika menghadiri pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 yang berlangsung semalam.

Masih terbuka untuk berkarya dalam bidang muzik
Dalam majlis tersebut, Fazura turut diperkenalkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif bagi Koleksi Raya 2026 bersama jenama tekstil tersohor berkenaan.
Setelah lebih dua dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk menamatkan pembabitan dalam drama TV juga berpunca daripada kekangan masa serta komitmen penggambaran yang terlalu panjang.
"Sejujurnya, saya sudah tidak mempunyai masa untuk terbabit dengan drama yang memerlukan tempoh penggambaran panjang.
"Fatima sangat rapat dengan saya dan dia juga mengalami kebimbangan akibat perpisahan atau separation anxiety. Dia sukar berjauhan dengan saya terlalu lama.
"Jika saya keluar bekerja dalam tempoh panjang, dia akan mencari saya. Malah, ketika tidur pun dia menunggu saya pulang," katanya.

Bintang filem Manisnya Cinta di Cappadocia itu turut mendedahkan bahawa selain faktor masa, terdapat beberapa sebab lain yang mempengaruhi keputusan tersebut.
"Kekangan masa ini antara faktor utama saya mengambil keputusan ini. Sudah tentu ada juga beberapa perkara lain yang mendorong saya untuk berhenti berlakon drama di semua stesen TV di Malaysia," katanya.
Fazura menegaskan bahawa langkah tersebut diambil demi mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu, sambil menyerahkan segala ketentuan masa depannya kepada Tuhan.
"Ia satu keputusan besar dan saya tekad melakukannya. Sekali lagi saya bercakap dengan beralas. Hari ini, secara rasminya saya mengumumkan bersara daripada drama televisyen.
"Namun, kita tidak tahu ketentuan Allah pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Fazura masih terbuka untuk terus berkarya dalam bidang muzik di bawah naungan Universal Music Malaysia dan kini sedang mengikuti kelas vokal sebagai persediaan.
"Untuk bidang muzik, masih ada beberapa perancangan termasuk daripada Universal Music Malaysia. Saya juga masih berminat untuk menghasilkan lagu.
"Ketika ini, saya sudah mula mengikuti kelas vokal. Sudah tentu saya bukan penyanyi profesional kerana minat utama saya tetap pada lakonan.
"Namun, minat terhadap muzik masih ada. Jika ada karya atau lagu yang menarik daripada penerbit, insya-Allah saya terbuka," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



