Empat Pelajar Tahfiz UPSI Jadi Imam & Pimpin Solat Di UK, Australia & Singapura Sempena Ramadan
Ia membuktikan keupayaan UPSI melahirkan pelajar tahfiz berkualiti yang mendapat pengiktirafan institusi Islam luar negara.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kecemerlangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus terpancar di peringkat global menerusi pemilihan empat pelajarnya sebagai imam bagi Program Qari in Residence di United Kingdom, Australia, dan Singapura sepanjang bulan Ramadan ini
Memetik laporan Bernama, Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff memberitahu pengiktirafan daripada institusi Islam antarabangsa terhadap program yang berlangsung dari 16 Februari hingga 21 Mac itu merupakan bukti nyata keupayaan UPSI dalam melahirkan modal insan tahfiz yang berkualiti tinggi dan berdaya saing di persada dunia.
Pelajar yang terpilih bagi memikul amanah tersebut terdiri daripada Adib Farhan Baharudin, pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), yang ditempatkan sebagai imam di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom.
Selain beliau, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi turut berkhidmat sebagai imam di Malaysian Hall Perth, Australia, manakala dua lagi pelajar iaitu Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing diberikan tanggungjawab berkhidmat di Masjid al-Ghufran, Singapura.

Pengiring Prof Madya Dr Norhisham Mohamad (kanan) dan wakil pelajar, Adib Farhan bersama tokoh akademik Pengajian Islam di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), Datuk Dr Afifi al-Akiti (tengah).
Image via UPSIUPSI dalam proses pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz Dan Turath Islami (i-Furqan)
Dalam pada itu, Ah-Luqman Al-Hakim Che' Zahari yang merupakan tenaga pengajar merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK, turut mendapat kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai imam di Masjid Dar al-Iman serta Malaysian Hall Sydney, Australia.
"Ini satu pengiktirafan yang bukan sahaja membanggakan UPSI, malah memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global.
"Ia juga selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Md Amin turut memaklumkan bahawa UPSI kini sedang membangunkan Institut Pendidikan Tahfiz Dan Turath Islami (i-Furqan) di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjong Malim.
Terletak di atas tapak seluas 7.2 hektar, pusat kajian ini bakal menggunakan kurikulum unik yang mengintegrasikan sistem tradisional "pondok" dengan pendidikan arus perdana bagi memartabatkan pendidikan tahfiz di Malaysia.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 