Ejen Ali The Movie 2 Sekali Lagi Cipta Sejarah, Jadi Tumpuan TIFFCOM 2025 Di Tokyo
Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini dinobatkan sebagai filem animasi paling laris sepanjang zaman di Malaysia.
Cover image via TV3 MalaysiaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jika ada anugerah untuk "Ejen Paling Cemerlang di Malaysia", rasanya kita semua tahu pemenangnya ialah Ejen Ali
Bermula dari Cyberaya dan kini melangkah ke pentas antarabangsa, francais animasi kebanggaan negara ini sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima jemputan ke TIFFCOM 2025, pasaran kandungan rasmi Tokyo International Film Festival (TIFF) yang berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober di Tokyo. Satu pencapaian besar yang membuktikan karya animasi tempatan berada di kelasnya tersendiri.
Lebih membanggakan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini dinobatkan sebagai filem animasi paling laris sepanjang zaman di Malaysia, sekali gus menjadi fokus utama dalam seminar bertajuk "Soaring Dreams in ASEAN Animations" di Tokyo.
Dengan kedudukan dalam empat teratas filem tempatan terlaris, kejayaan ini menandakan bahawa animasi Asia Tenggara kini mampu berdiri gah dan bersaing di pasaran global.

Berharap agar terjalin kolaborasi antara Malaysia dan Jepun untuk memperkaya mutu penceritaan serta pembangunan karakter animasi
Detik yang paling mencuri perhatian hadir apabila Puan Nini berkongsi pengalaman tayangan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang berlangsung serentak dengan filem Hollywood blockbuster Mission Impossible: The Final Reckoning.
Beliau mengakui pihak produksi pada mulanya sedikit gusar apabila dua filem aksi besar ditayangkan pada masa sama. Namun respon penonton ternyata luar jangkaan.
"Kami agak bimbang kerana Ejen Ali ditayangkan pada waktu sama dengan Mission Impossible. Kami fikir mungkin mustahil untuk bersaing kerana penonton perlu pilih sama ada Ejen Ali atau Ejen Ethan Hunt. Namun ternyata, Malaysia memilih Ejen Ali. Kami amat berterima kasih atas sokongan luar biasa semua peminat," katanya.

Bukan sahaja tiket tayangan habis sold out, malah produk rasmi Ejen Ali juga laris bak pisang goreng panas. Sepanjang tempoh tayangan, lebih 30,000 unit merchandise terjual termasuk peranti IRIS interaktif, tumbler, t-shirt, keychain dan pin.
Fenomena jualan ini secara tidak langsung meletakkan jenama Ejen Ali setaraf dengan populariti francais anime dan manga Jepun yang mempunyai pengikut fanatik.
Dalam nada penuh harapan, Puan Nini turut menyatakan aspirasi untuk menjalin kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam memperkukuh mutu penceritaan dan pembangunan karakter animasi.
"Kami mahu belajar daripada Jepun yang terkenal dengan kekuatan storytelling mereka. Dengan pengalaman ini, kami berharap dapat terus menarik penonton baharu tanpa mengabaikan peminat sedia ada," ujar beliau.
Dengan momentum antarabangsa yang semakin kukuh, Ejen Ali kini bersedia melangkah sebagai pemain global.
Kejayaan EATM2 bukan sekadar kejayaan sebuah filem, tetapi menjadi titik tolak untuk membawa animasi tempatan menembusi pasaran dunia dengan mempertegaskan bahawa Ejen Ali mungkin lahir di Malaysia, namun misinya kini mendunia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



