Durian Merah Sabah Boleh Jadi ‘Game Changer’ Industri Makanan & Agropelancongan? Ini Sebabnya
Dengan keunikan warna, rasa dan cara penuaian yang berbeza, durian merah dilihat boleh menjadi produk agropelancongan baharu Sabah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kalau sebut durian, ramai terus terbayang Musang King atau Udang Merah dari Semenanjung
Tetapi tahukah anda, Sabah sebenarnya ada satu lagi 'permata tersembunyi' yang tidak kurang hebatnya! Pernah dengar nama durian merah?
Bukan sekadar buah eksotik biasa, durian merah kini dilihat berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk makanan bernilai tinggi dan tarikan baharu agropelancongan di negeri bawah bayu itu.
Bukan durian biasa-biasa

Gambar sekadar hiasan.
Image via LDyou2 via WikimediaMenurut laporan Sabah Media, durian merah terkenal dengan isinya yang berwarna kemerahan, rasa lemak manis dan kandungan gula yang lebih rendah berbanding sesetengah varieti lain. Lebih menarik, sepokok durian merah mampu menghasilkan sehingga 200 biji buah dalam satu musim.
Namun, keunikannya tidak terhenti di situ. Berbeza dengan durian biasa yang gugur apabila masak, durian merah tidak akan luruh walaupun telah matang.
Ini bermakna proses penuaian memerlukan kemahiran khas kerana pokoknya juga tinggi dan besar. Ia perlu dipanjat oleh individu berpengalaman.
Bagi masyarakat Orang Sungai di Tongod, Kinabatangan, Telupid dan Beluran, durian merah bukan sesuatu yang asing. Isinya sering ditumis bersama perisa untuk dijadikan sambal menjadikan ia antara menu tradisi popular di utara Sabah.
Kini, ada cadangan supaya potensi ini diperluaskan ke peringkat lebih besar

Gambar sekadar hiasan.
Image via Borneo (Facebook)Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan agar Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menjalankan kajian menggunakan teknologi agronomi moden bagi membangunkan varieti benih durian merah yang lebih praktikal.
Antara fokus utama:
- Menghasilkan pokok lebih rendah dan rendang
- Memudahkan pengurusan ladang
- Mempercepat dan memudahkan proses penuaian
- Meningkatkan kualiti serta hasil tanaman
Jika berjaya, durian merah bukan sahaja sesuai dikomersialkan secara meluas, malah berpotensi menembusi pasaran makanan eksotik di Asia.
Tarikan baharu agropelancongan Sabah?

Gambar sekadar hiasan.
Image via Projek PertanianDengan keunikan warna, rasa dan cara penuaian yang berbeza, durian merah dilihat boleh menjadi produk agropelancongan baharu Sabah.
Bayangkan pelancong datang bukan sekadar menikmati keindahan alam semula jadi Sabah, tetapi juga merasai pengalaman eksklusif menikmati sambal durian merah asli bersama komuniti tempatan.
Selain memperluaskan pasaran, langkah ini juga mampu meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar, mengangkat tanaman warisan masyarakat Sungai dan memperkenalkan identiti unik Sabah dalam industri durian.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 