Doktor Malaysia Di Australia Dedah Gaji & Kelebihan Berbanding Dengan Di Tanah Air
Perkongsian itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Cover image via Gemini (Gambar sekadar hiasan)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang doktor Malaysia yang kini berkhidmat di Australia menarik perhatian ramai selepas berkongsi perbandingan ketara antara gaji, waktu kerja, dan faedah pekerjaannya di kedua-dua negara
Doktor berkenaan, dikenali sebagai Dr Yap, meninggalkan kerjayanya di hospital di Malaysia tahun lalu untuk meneruskan perjalanan profesionalnya dalam bidang perubatan di Australia.
Menerusi satu hantaran di Facebook yang tular, seperti dilaporkan Sin Chew Daily, Dr Yap mendedahkan realiti bekerja sebagai doktor di Malaysia dan Australia, dua dunia berbeza dari segi pengiktirafan dan ganjaran.
Ketika berkhidmat di Malaysia, dia bekerja sekurang-kurangnya 60 jam seminggu, sering kali dengan kerja lebih masa tanpa bayaran tambahan. Semua itu dilakukan dengan gaji bulanan sekitar RM4,500 sahaja, menurut perkongsian beliau.
Namun, selepas berpindah ke Australia, landskap kerjayanya berubah sepenuhnya. Kini, Dr Yap bekerja 76 jam dalam tempoh dua minggu, dengan gaji asas sekitar AUD3,800 (RM10,600) untuk tempoh itu iaitu hampir dua kali ganda pendapatan bulanannya dahulu.
Selain gaji asas, dia turut menerima elaun khas bagi syif hujung minggu, petang, dan malam, di samping bayaran kerja lebih masa yang dikira dengan telus antara 1.5 hingga 2 kali kadar asas.
Bekerja pada cuti umum dibayar 150% daripada kadar biasa, manakala menggantikan rakan sekerja pula dibayar AUD138 (sekitar RM384) sejam.

Gambar sekadar hiasan.
Image via GeminiDia turut memberitahu satu lagi jurang ketara yang sering menjadi keluhan ramai petugas kesihatan iaitu cuti tahunan
Menurutnya, sewaktu bekerja di Malaysia, mengambil cuti tahunan bagaikan satu fantasi yang sukar direalisasikan. Permohonan cuti sering kali ditolak dan jika diluluskan sekalipun, doktor perlu mencari pengganti sendiri untuk menampung syif yang ditinggalkan.
Lebih mengejutkan, katanya, terdapat peraturan yang menghadkan cuti tahunan kepada maksimum dua hari sahaja setiap bulan, menjadikan peluang untuk berehat sepenuhnya hampir mustahil.
Sebaliknya, di Australia, dia menikmati lima minggu cuti tahunan dan 28 hari cuti sakit setiap tahun. Malah, untuk cuti sakit kurang daripada tiga hari, doktor tidak perlu mengemukakan sijil perubatan.
Bagi Dr Yap, perbezaan ini bukan sekadar soal jumlah cuti, tetapi cerminan cara sesebuah sistem menghargai tenaga kerja kesihatan dan kesejahteraan mental mereka.
Cerita bagaimana rutin hariannya di Malaysia dahulu bermula seawal jam 6 pagi dan berlarutan hingga lewat malam
Namun kini, selepas berpindah ke Australia, rentaknya jauh berbeza. Dia menikmati dua hingga tiga hari cuti setiap minggu, dan selepas menjalani syif malam, dia bahkan boleh berehat selama seminggu penuh untuk memulihkan tenaga.
Menariknya, di Australia, waktu rehat tengah hari bukan sekadar formaliti, tetapi ia diwajibkan. Pekerja tidak dibenarkan menolak untuk makan atau berehat, malah pengurusan memastikan semua staf mengambil masa untuk menjeda seketika daripada tekanan kerja.
Menyentuh soal budaya kerja, dia mengakui suasananya di Malaysia agak tegang, terutama bagi doktor pelatih yang sering menjadi sasaran teguran atau dipersalahkan, walaupun dibebani kerja tanpa henti.
Dia pernah berkongsi pengalaman peribadi terlepas waktu makan tengah hari kerana terlalu sibuk, lalu ditegur kerana tugasan yang belum selesai. Insiden kecil itu meninggalkan kesan mendalam, menambah rasa lelah dan hilang semangat.
Sebaliknya, di Australia, budaya hormat dan kesejahteraan staf dijaga ketat. Doktor senior tidak dibenarkan memarahi staf sesuka hati, dan peraturan jelas melindungi pekerja muda. Suasana kerja juga lebih mesra di mana senior sering menawarkan kopi atau berbual santai, mewujudkan persekitaran yang lebih positif dan saling menyokong.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Grok (X)Perkongsian Dr Yap di media sosial mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, apabila ada yang menuduh dia seolah-olah cuba "memujuk" doktor Malaysia berhijrah ke luar negara dan tidak lagi peduli terhadap pesakit di tanah air
Menjawab kritikan itu, dia menegaskan niatnya bukan untuk mengajak sesiapa berhenti kerja atau berpindah ke luar negara, sebaliknya hanya ingin berkongsi pengalaman peribadi bagi memberi gambaran sebenar tentang alternatif kerjaya yang wujud untuk para doktor muda.
Namun begitu, ramai juga yang bersetuju dengan pandangannya, menyifatkan pengalamannya mencerminkan sebab utama mengapa ramai tenaga perubatan Malaysia memilih untuk berkhidmat di luar negara.
"Fakta bahawa dia dapat bayaran lebih untuk kerja lebih masa di Australia pun dah cukup alasan untuk berpindah," komen seorang pengguna.
Ada juga yang menjelaskan bahawa gajinya sebagai Junior Medical Officer (JMO) di Australia mungkin kelihatan sederhana bagi sesetengah pihak, tetapi ia hanyalah langkah pertama dalam kerjayanya.
Setelah memperoleh status penduduk tetap dan menyambung latihan kepakaran, pendapatannya dijangka boleh meningkat sehingga tiga kali ganda, terutama apabila mengambil kira kerja di sektor awam dan swasta.
Selain itu, struktur gaji doktor di Australia juga dijangka dinaik taraf tahun depan sekiranya rundingan yang sedang dijalankan berjaya, bermakna gaji semasanya belum pun mencapai tahap tertinggi.
Seorang lagi pengulas menambah bahawa sistem kesihatan awam Malaysia kini seolah-olah menjadi punca kepada kejatuhannya sendiri.
Dalam pasaran global yang semakin terbuka, apabila hospital gagal menghargai dan melindungi pelatih perubatan, mereka akhirnya akan kehilangan bakat yang sukar diganti.
Katanya lagi, ramai doktor Malaysia yang kini bekerja di luar negara tidak pernah kembali, menjadikan penghijrahan ini satu hala.
Bagi ramai yang meninggalkan tanah air, keputusan itu bukan soal gaji semata-mata, tetapi soal maruah, kesejahteraan dan peluang untuk dihargai.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



