Doktor Luah Rasa Kecewa Bila Ada Pesakit Sendiri Paksa Guna Ubat Yang Disyorkan ChatGPT
Doktor pula nak kena ikut arahan pesakit ya?
Cover image via @dr.rusydina (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tidak dinafikan, kebangkitan platform kecerdasan buatan (AI) seperti Google Gemini dan ChatGPT memang memudahkan orang ramai untuk mendapatkan jawapan pantas mengenai masalah kesihatan
Namun, bukan semua nasihat yang diberikan dalam talian adalah tepat seperti yang kisah yang dikongsikan oleh seorang doktor Malaysia dalam video TikTok baru-baru ini.
Menurut pengamal perubatan am yang dikenali sebagai Dr Rusydina, dia pernah berdepan dengan seorang pesakit lelaki warga asing yang datang ke kliniknya dengan satu permintaan pelik.

Pesakit itu terus menuntut untuk diberikan suntikan dan antibiotik tertentu tanpa mahu jalani konsultasi. Malah, dia enggan membayar untuk pemeriksaan doktor kerana mendakwa sudah tahu ubat yang dia perlukan.
"Dia tak nak konsultasi, dia cuma nak bayar ubat dan suntikan sahaja," katanya.
Rupa-rupanya ada penyakit kelamin, tetap tolak preskripsi doktor dan mahu ikut 'nasihat' ChatGPT
Selepas didesak, barulah pesakit berkenaan mengaku dia mengalami masalah lelehan pada alat sulitnya selama beberapa bulan. Apa yang lebih mengejutkan, ubat yang dimintanya sebenarnya digunakan untuk merawat penyakit kelamin (STD).
Selepas pemeriksaan dilakukan, pesakit tersebut disahkan menghidap gonorea iaitu satu penyakit kelamin yang memerlukan rawatan segera. Namun begitu, lelaki tersebut tetap menafikan dia mempunyai hubungan seks dengan orang lain dan agak keberatan menerima diagnosis tersebut.
Dr Rusydina kemudian menerangkan tentang penyakit itu dan menasihatkan supaya pasangan pesakit turut dirawat untuk elak jangkitan berulang. Dia juga memberikan preskripsi suntikan bersama antibiotik yang lebih berkesan. Malangnya, pesakit itu tetap berdegil dan menolak preskripsi tersebut kerana hanya mahu mendapatkan rawatan yang disyorkan oleh ChatGPT.
Akibat kecewa dengan jawapan pesakit itu, Dr Rusydina mengingatkan orang ramai bahawa walaupun AI seperti ChatGPT boleh digunakan untuk belajar tetapi ia tidak sepatutnya menggantikan kepakaran perubatan.
"Kami pergi sekolah perubatan, belajar buku teks, lulus peperiksaan—lama sebelum ChatGPT wujud. Ia cuma pembantu, bukan pengganti ilmu perubatan sebenar," jelasnya.
Lihat video penuh di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



