Diskaun Tol 50% Selama Dua Hari Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026
Orang ramai dinasihatkan menyemak maklumat trafik terkini melalui saluran rasmi atau talian bantuan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini secara rasmi bersetuju untuk memberikan insentif diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026
Menurut kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, inisiatif ini melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM19.5 juta yang akan diperuntukkan sebagai bayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
"Pelaksanaan diskaun akan bermula pada 12.01 tengah malam 14 Februari dan berakhir pada 11.59 malam 15 Februari. Diskaun ini diharap dapat meringankan kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung atau bercuti sempena perayaan itu serta menjelang Ramadan," katanya.

Diskaun terpakai kepada kenderaan persendirian
Insentif potongan harga ini diberikan khusus kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di seluruh plaza tol serta kenderaan Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun, pemberian diskaun ini tidak merangkumi plaza tol di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Pemilihan tarikh pelaksanaan inisiatif ini telah dipertimbangkan secara teliti bagi mengelakkan kesesakan trafik yang melampau, di samping memastikan operasi logistik di kawasan hentian serta zon Rehat dan Rawat (R&R) dapat berjalan secara optimum.
Sehubungan itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengingatkan para pengguna lebuh raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan dengan merancang jadual perjalanan dengan lebih awal serta mematuhi had laju yang ditetapkan.
Beliau turut mengesyorkan orang ramai untuk memanfaatkan aplikasi MyPLUS-TTA dan sistem navigasi TuJu Highway kendalian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mendapatkan cadangan waktu perjalanan yang lebih efisien.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 