Dinner In The Sky Malaysia Kembali, Rasai Makan Malam Eksklusif Dengan Pemandangan Menakjubkan
Semua komponen dan operasi Dinner In The Sky Malaysia memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang disahkan oleh TÜV SÜD.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Salah satu pengalaman makan malam 'pop-up' yang paling menarik di Kuala Lumpur, Dinner In The Sky Malaysia (DITS), telah kembali setelah berehat selama lima tahun, kali ini dengan lokasi baharu yang menawarkan pemandangan menakjubkan dari TREC di sepanjang Jalan Tun Razak

Pengalaman makan yang digantung 50 meter (164 kaki) di udara ini menawarkan bukan sekadar keseronokan tetapi juga pemandangan latar langit bandar yang tidak dapat dilupakan, termasuk bangunan kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118.
Pengasas DITS Asia, Arvin Randahwa, melahirkan rasa teruja kerana dapat membawa kembali tarikan ini tepat pada masanya untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Mereka baru sahaja mengumumkan Tahun Melawat Malaysia 2026, dan bagi DITS sendiri, 50 peratus daripada tetamu kami adalah pelancong. Kami menyedari kini adalah masa yang tepat untuk membawanya kembali, terutamanya apabila angka pelancong kita semakin meningkat baru-baru ini," kata Arvin.

Dua sesi satu jam ditawarkan setiap hari selama tiga bulan
Untuk kali ini, pengalaman makan malam DITS akan berlangsung selama tiga bulan, bermula pada 8 November. Dua sesi satu jam ditawarkan setiap hari:
- KL Sunset (6:30 petang): Untuk menikmati pemandangan matahari terbenam dan permulaan malam.
- KL City Lights (8:00 malam): Untuk merasai pengalaman panorama waktu malam yang indah.
DITS bekerjasama dengan restoran Sri Lanka tempatan, Ceylon House, untuk menyediakan hidangan tiga sajian mewah. Pilihan hidangan utama termasuk ikan, ayam, daging lembu, atau hidangan vegetarian.

Arvin turut memberi jaminan bahawa pengalaman ini memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang disahkan oleh TÜV SÜD, sebuah organisasi Jerman yang terkenal dalam pensijilan keselamatan global.
"Ketika dibawa naik ke atas, para tetamu akan memakai tali pinggang keselamatan pada setiap masa, dan kakitangan yang bertugas dilengkapi sepenuhnya dengan abah-abah (harness) keselamatan untuk memastikan keselamatan mereka sepanjang masa di udara," jelas beliau.
Seorang penyelia keselamatan akan mengendalikan taklimat pra-penerbangan dan sentiasa berhubung dengan pengendali kren.

Tiket pengalaman makan malam DITS berharga RM399 seorang
Dengan harga RM399 seorang, para tetamu bukan sekadar membeli makan malam mereka, malah membeli pengalaman yang jarang dapat diulang.
Dalam pada itu, syarat umur tetamu pula mestilah berusia sekurang-kurangnya 12 tahun. Bagi mereka yang berusia di bawah 18 tahun harus ditemani oleh orang dewasa.
Walaupun kemunculan di KL ini bersifat sementara, Arvin mendedahkan bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk membawa DITS ke negeri-negeri lain pada tahun hadapan, dengan Kuching, Sarawak berada di tangga teratas senarai destinasi yang dirancang.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, layari www.dinnerintheskymalaysia.com atau kunjungi Dinner In The Sky Malaysia di TREC Kuala Lumpur.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 