Tiga Remaja Mohon Maaf Lepas Dikecam Beri Gelandangan Makan Nasi Berlaukkan Sisa Tulang Ayam
Salah seorang daripada mereka memberitahu video itu berbentuk eksperimen sosial.
Cover image via InstagramFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tiga remaja yang sebelum ini tular menerusi sebuah rakaman video kerana didakwa memberi makanan yang mengandungi nasi bersama sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Instagram, salah seorang daripada mereka tampil memohon maaf secara terbuka atas perbuatan mereka yang menimbulkan kemarahan ramai.
Tindakan yang dianggap tidak sensitif itu menerima kecaman hebat daripada netizen yang menganggap ia sebagai penghinaan terhadap golongan kurang bernasib baik.

Dakwa video hanya konten sosial eksperimen, sudah 'berpakat' dengan gelandangan
Salah seorang daripada remaja terbabit memaklumkan bahawa rakaman tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada eksperimen sosial dan menurutnya, mereka telah mendapatkan persetujuan awal daripada lelaki gelandangan berkenaan sebelum merakam video itu.
"Pada hari ini, saya ingin memberi penjelasan berkenaan insiden tulang ayam. Disebabkan video itu, orang ramai menyangka kami memberi makan tulang ayam kepada gelandangan tersebut.
"Kami tidak memberikan tulang ayam kepadanya untuk dimakan. Pada mulanya, kami mengikuti lelaki gelandangan itu. Ia satu rancangan pembikinan video, dan kami kemudiannya memberikan set lengkap nasi dan dua ketul ayam kepadanya," katanya.

Jelasnya, niat asal bukanlah untuk merendahkan sesiapa, sebaliknya mahu menyampaikan mesej kesedaran sosial melalui pendekatan eksperimen.
Malah, menurutnya lelaki gelandangan berkenaan telah memberikan persetujuan untuk terlibat dalam rakaman tersebut dan turut sama 'berlakon' bagi menjayakan kandungan video mereka.
"Lelaki itu bersetuju dan kami berlakon bersama-sama, rakam video berkenaan dan memang betul-betul beri nasi lengkap dengan ayam, bukannya nasi bersama tulang ayam," katanya.
Justeru, mereka tampil memohon maaf secara terbuka dan merayu agar diberi ruang kedua.
"Kami harap masyarakat dapat beri peluang kedua. Kami berjanji akan terus menyumbang dengan cara yang lebih baik, terutamanya membantu gelandangan yang memerlukan," ujarnya.
Sebelum ini, tular rakaman menunjukkan tiga remaja menikmati ayam goreng sebelum meletakkan sisa tulang ke dalam bungkusan nasi, lalu dipercayai diserahkan kepada seorang lelaki gelandangan.
Meskipun wajahnya jelas terkejut ketika membuka bungkusan tersebut, lelaki itu tetap mengucapkan terima kasih.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



