DBKL Buka Portal OSC Kepada Umum, Perkukuh Ketelusan Perancangan Bandar
Langkah ini meningkatkan ketelusan untuk rakyat memantau kelulusan pembangunan di Kuala Lumpur.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Usaha memperkukuhkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam perancangan bandar Kuala Lumpur kini memasuki fasa baharu apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara rasmi membuka akses Portal One Stop Centre (OSC) kepada orang awam
Langkah ini dilihat sebagai satu reformasi penting dalam memastikan proses pembangunan bandar dilaksanakan secara telus, teratur dan selaras dengan kepentingan rakyat.
Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, pembukaan akses awam kepada Portal OSC membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan permohonan pembangunan di kawasan masing-masing, termasuk mengesahkan sama ada sesuatu projek telah menerima kelulusan sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan.
Inisiatif ini sekali gus memberi ruang kepada pemantauan awam terhadap aktiviti pembangunan di ibu negara.
Bagi melindungi hak pemilik tanah dan pemohon, DBKL turut menyediakan satu ruang akses awam khas dalam Portal OSC.

Hanya maklumat perancangan yang relevan dan tidak sulit akan dipaparkan kepada umum
Melalui platform ini, hanya maklumat perancangan yang tidak bersifat sulit dan relevan akan dipaparkan untuk tontonan umum. Maklumat persendirian dan sensitif seperti pelan bangunan terperinci serta dokumen yang melibatkan hak milik proprietari pemilik tanah akan terus dilindungi.
"Dengan membuka akses kepada maklumat ini, DBKL menyasarkan untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap proses perancangan dan pembangunan di samping memastikan semua aktiviti pembangunan dilaksanakan secara teratur, mematuhi peraturan serta bertanggungjawab," katanya.
Pendekatan keterbukaan dalam perancangan bandar ini sebenarnya telah lama menjadi amalan piawai di negara-negara maju, di mana akses kepada maklumat asas perancangan diiktiraf sebagai hak awam dan bukannya maklumat yang perlu dirahsiakan.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Indego GlobalImage viaReformasi ini juga merupakan hasil perjuangan berterusan Ahli Parlimen, gabungan pertubuhan masyarakat sivil serta persatuan penduduk di Kuala Lumpur yang menuntut ketelusan dalam pengurusan bandar.
Dalam masa sama, Hannah Yeoh merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Fadlun bin Mak Ujud atas usaha memudah cara pelaksanaan reformasi ini dengan pantas dan berkesan.
Beliau menegaskan bahawa perancangan bandar di Kuala Lumpur tidak seharusnya menjadi ruang eksklusif segelintir pihak atau diputuskan secara tertutup tanpa penelitian awam.
Sebaliknya, Kuala Lumpur adalah milik rakyat dan setiap pemegang taruh mempunyai peranan penting dalam membentuk hala tuju serta masa depan bandar raya ini.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari Portal OSC DBKL di https://osc3plus.dbkl.gov.my.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 