CUEPACS Cadang Guna Sijil Cuti Sakit Digital Untuk Elak Kes Pemalsuan MC
Ia bagi membanteras penggunaan sijil cuti sakit palsu dalam kalangan penjawat awam.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
CUEPACS mencadangkan agar sijil cuti sakit (MC) diperkasa dalam bentuk digital, sekali gus membolehkan majikan terus berhubung dengan institusi kesihatan negara
Ia dilihat langkah proaktif untuk membanteras penggunaan MC palsu dalam kalangan penjawat awam.
Cadangan ini dilihat sebagai satu cara meningkatkan ketelusan dan kecekapan sistem, sambil melindungi integriti perkhidmatan awam daripada disalah guna.
Menerusi laporan Berita Harian, Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat memberitahu walaupun isu sijil cuti sakit palsu tidak sepatutnya terjadi dalam kalangan perkhidmatan awam, tindakan segera perlu dilakukan untuk menambah baik sistem sedia ada.
"Antaranya adalah memperluas penggunaan sijil cuti sakit digital yang mempunyai sistem pengesahan QR. Sistem ini perlu memperoleh pengesahan terus daripada sistem hospital dan klinik kerajaan bagi mengelakkan pemalsuan.
"Kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilakukan dalam memperkukuh pemantauan terhadap dokumen perubatan," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Cikgu ShareBanyak kegiatan MC palsu dilaporkan
Sebelum ini, BH melaporkan penahanan tiga lelaki termasuk seorang pesakit jantung kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menghasilkan dan menjual sijil cuti sakit (MC) palsu di Sungai Petani, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata, dalam serbuan di sebuah premis di Taman Songket Indah, seorang lelaki berusia lewat 40-an ditahan, dengan kira-kira 20 keping sijil cuti sakit palsu berserta pelbagai kelengkapan berkait kegiatan itu seperti tablet, komputer riba, mesin pencetak, dan cop nama doktor dirampas.
Mengulas lanjut, Adnan menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang terlibat, supaya ia menjadi pengajaran dan peringatan kepada orang lain agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
"Kempen kesedaran dan pendidikan etika juga perlu dilakukan iaitu melalui pelaksanaan bengkel atau sesi taklimat kepada penjawat awam untuk mengetahui kesan undang-undang dan tatatertib jika terbabit dengan penggunaan sijil cuti sakit palsu," katanya.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.
Image via Berita HarianMenurut beliau, CUEPACS turut menyokong sepenuhnya tindakan pantas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan sindiket sijil cuti sakit palsu ini kerana ia satu bentuk penipuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam dan boleh menyebabkan ketidakadilan kepada rakan-rakan penjawat awam lain yang mematuhi prosedur perkhidmatan dengan jujur.
"Kes seumpama ini bukan sahaja menjejaskan integriti profesion kesihatan dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya, malah memberikan kesan negatif kepada imej penjawat awam yang komited dan beretika dalam menjalankan tugas.
"Justeru CUEPACS menggesa semua penjawat awam supaya memelihara integriti dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi perkhidmatan awam dan kita semua perlu bertanggungjawab memastikan sistem yang dibina berlandaskan kepercayaan ini tidak disalah guna," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 