Cucur Udang Kuah Kacang ‘Pikat’ Juri Korea, Chef Johor Rangkul Tempat Ketiga Di Jeju!

Baru orang Korea tahu betapa sedapnya 'coq udang'!

Enlarge text
Cover ImageCover image via Fazalina Azmi (Facebook)
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Dua chef dari Johor membuktikan masakan Malaysia memang tidak pernah mengecewakan apabila berjaya merangkul tempat ketiga di 9th Jeju Local Food Contest & WACS International Culinary Competition yang berlangsung di Universiti Pelancongan Jeju, Korea Selatan baru-baru ini

Menurut laporan Free Malaysia Today, pasangan hebat itu iaitu Chef Fazalina Ismail dari Segamat dan rakan sepasukannya Muhammad Saufie Ab Rashid dari Tangkak telah berjaya memukau para juri dengan gabungan hidangan moden dan tradisi Malaysia.

Paling menarik perhatian, mereka menghidangkan cucur udang kuah kacang sebagai hidangan pembuka. Tidak dinafikan, ia merupakan menu yang selalu jadi penyelamat waktu minum petang rakyat Malaysia kini berjaya menawan lidah juri antarabangsa!

Turut dipersembahkan, hidangan utama fish seaweed roulade bersama salad jeruk limau tangerin dan ketam sumbat dengan sos cili bawang putih.

SAYS.com
Image via FMT

Fazalina yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri kulinari mengakui cabaran paling besar adalah memastikan semua bahan adalah halal

"Kami perlu sangat berhati-hati dalam pemilihan bahan dan akhirnya memutuskan untuk menumpukan pada makanan laut selepas meneliti bahan-bahan halal di Pasar Dongmun di Jeju. Komunikasi juga menjadi cabaran kerana kebanyakan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris," katanya.

Pertandingan berprestij anjuran Persatuan Chef Korea itu turut menyaksikan penyertaan chef dari tujuh negara lain termasuk Nepal, Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Singapura dan tuan rumah Korea Selatan. Malaysia diwakili lima chef dengan Awang Razali Hussin sebagai ketua delegasi.

"Ini merupakan kali pertama saya bertanding di luar negara, jadi saya memang berasa gementar dan sangat terharu. Apabila nama Malaysia diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga, saya tidak dapat menahan air mata. Ia adalah detik yang sangat membanggakan untuk mewakili Johor dan Malaysia di pentas dunia," katanya lagi.

SAYS.com
Image via Fazalina Azmi (Facebook)

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Kulinari Malaysia Bersatu serta penulis kepada 26 buku masakan, memaklumkan Taiwan berjaya merangkul emas, Korea Selatan membawa pulang perak dan Malaysia memperoleh gangsa

Memulakan kerjaya sebagai pembantu dapur sehinggalah menjadi chef eksekutif, Fazalina sudah aktif menyertai pertandingan sejak 2004. Selepas berehat daripada bertanding sejak 2011, tahun ini beliau nekad kembali demi memenuhi impian peribadi.

Menariknya, seluruh perjalanan ke Korea ditaja sepenuhnya oleh suaminya. Fazalina berharap lebih banyak sokongan dan tajaan dapat diberikan oleh kerajaan negeri kepada chef tempatan yang berbakat besar dan berpotensi mengharumkan nama Malaysia.

Lihat video di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik