CEO GISBH & 3 Lagi Mengaku Tidak Bersalah, 273 Pertuduhan Bernilai RM43.9 Juta Dibaca 5 Jam
Mahkamah menetapkan 6 November untuk sebutan semula kes bagi Nasiruddin dan Hamimah manakala 24 November untuk Mohd Khushairi dan Asmanira.
Cover image via Faiz Anuar/NSTPFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas lima jam akhirnya 273 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM43.9 juta membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn Bhd dan tiga bekas akauntannya selesai dibacakan hari ini (10 September 2025)
Menurut laporan Harian Metro, Nasiruddin Mohd Ali, 66, Hamimah Yakub, 73, Mohd Khushairi Osma, 54, dan isterinya, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Nasiruddin berdepan 109 pertuduhan membabitkan nilai keseluruhan RM14 juta, Hamimah (69 pertuduhan – RM4.6 juta), Mohd Khushairi (54 pertuduhan – RM20.3 juta) manakala Asmanira (41 pertuduhan – RM5 juta).
Berdasarkan pertuduhan yang mula dibacakan kira-kira 10 pagi, keempat-empat mereka masing-masing menerima dan memindahkan wang melalui 10 akaun berbeza di bank antaranya Bandar Baru Bangi, Rawang, Subang, Kajang dan Puchong antara 2020 hingga 2024.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Nasiruddin berkerusi roda ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Image via Kosmo!Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Mohd Marzuki, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi dan P Sangari manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Datuk Rosli Kamaruddin.
Semasa prosiding itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan RM50,000 sebagai wang jaminan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan dua penjamin di Selangor, menyerahkan pasport, melapor diri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebulan sekali selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Rosli merayu kepada mahkamah supaya nilai jaminan dikurangkan atas faktor usia dan masalah kesihatan tertuduh, mereka tidak mempunyai pendapatan selain memberikan kerjasama baik sepanjang kes berjalan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Awang Kerisnada memutuskan wang jaminan RM20,000 kepada Asmanira manakala Hamimah dan Mohd Khushairi (RM25,000) dengan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Selain itu, tiada jaminan dibenarkan kepada Nasiruddin berikutan masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Mahkamah menetapkan 6 November untuk sebutan semula kes bagi Nasiruddin dan Hamimah manakala 24 November untuk Mohd Khushairi dan Asmanira
Semalam, Awang Kerisnada membenarkan jaminan sementara RM5,000 kepada Hamimah selepas warga emas itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM3.89 juta.
Pada Februari lalu, Nasiruddin dan Hamimah serta 20 yang lain termasuk isterinya, Azura Md Yusof, 58, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Turut didakwa ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 33.
Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang bermula 23 Oktober 2024.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



