CEO GISBH & 12 Lelaki Dihukum Penjara 15 Bulan, Isterinya Serta Lapan Wanita Didenda RM4,500
Difahamkan, kesemua 22 tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menjadi anggota GISBH, yang disahkan sebagai sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, bersama 12 lelaki lain, dihukum penjara 15 bulan selepas mengaku bersalah menganggotai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang
Menurut laporan Berita Harian, turut dihukum ialah isterinya, Azura Md Yusof, dan lapan wanita lain yang masing-masing dikenakan denda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dalam prosiding yang berlangsung di Kompleks Penjara Kajang.
Kesemua 22 tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menjadi anggota GISBH, yang disahkan sebagai sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang.

Mereka ialah Nasiruddin, 66, dan isterinya Azura Md Yusof, 58, anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 33, Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.
Lapan lagi tertuduh wanita ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.
Pertuduhan diubah selepas representasi diterima
Pada awalnya, mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, iaitu satu kesalahan berat yang membawa hukuman minimum lima tahun penjara.
Namun, selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi, pertuduhan dipinda kepada kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Melalui seksyen ini, kesalahan tersebut membawa hukuman maksimum:
- Penjara sehingga 3 tahun, atau
- Denda sehingga RM5,000, atau
- Kedua-duanya sekali.
Kesalahan berlaku antara tahun 2020 hingga 2024

Mengikut fakta pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi anggota pertubuhan itu di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, dalam tempoh Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Norinna Bahadun, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Rosli Kamaruddin.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 