Bukit Bintang Bakal Jadi ‘Disneyland Malaysia’ Tahun Depan, Kerajaan Umum Peruntukkan RM4 Juta
Tak sabar nak tengok Bukit Bintang meriah dengan perarakan Tahun Melawat Malaysia 2026!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kawasan ikonik Bukit Bintang bakal berubah wajah tahun depan apabila kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi menjayakan projek pencahayaan dan perarakan khas bersempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 pada 3 Januari 2025
Menurut laporan Kosmo!, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata buat julung kalinya, perarakan berskala besar setanding persembahan di Disneyland akan diadakan di sepanjang laluan Bukit Bintang. Ia menampilkan pertunjukan budaya Malaysia dengan gabungan cahaya, warna dan elemen seni tempatan.
"Kita akan memohon kepada Polis Diraja Malaysia untuk menutup jalan di Bukit Bintang pada waktu petang bagi menjayakan perarakan ini.
"Ini kali pertama kita adakan perarakan di Bukit Bintang yang setanding persembahan di Disneyland. Jadi, orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan," katanya.
Beliau menjelaskan, tarikh 3 Januari dipilih bagi mengelakkan pertindihan dengan sambutan Krismas dan Tahun Baharu, memandangkan kawasan itu biasanya menjadi tumpuan ribuan pengunjung pada hujung tahun.

Kor Ming (tiga kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif ketika majlis Pra -Pelancaran Projek 'I Lite U' atau Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Pavilion Bukit Bintang.
Image via Kosmo!RM4 juta diperuntukkan untuk projek 'I Lite U Bukit Bintang'
Dalam sidang yang sama, beliau turut mengumumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masing-masing memperuntukkan RM2 juta bagi melaksanakan projek pencahayaan bandar 'I Lite U Bukit Bintang'.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif berkonsepkan inovasi dan kelestarian, dengan matlamat memperindah serta menghidupkan semula Bukit Bintang sebagai nadi pelancongan utama dan kawasan segi tiga emas Malaysia.
"Peruntukan RM4 juta ini membuktikan semangat kerja berpasukan dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026," jelasnya.

Difahamkan, usaha itu juga selaras dengan momentum positif Malaysia selepas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini, yang membuka lebih banyak peluang untuk menarik pelabur dan pelancong antarabangsa.
Sebagai langkah sokongan, beberapa agensi termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Alam Flora Sdn. Bhd. akan turut serta bagi memastikan kawasan tersebut sentiasa bersih, ceria dan mesra pengunjung.
"Ini adalah masa keemasan untuk kita memperhebatkan promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia," tambahnya.
Penutupan jalan & galakan pengangkutan awam
Bagi memastikan kelancaran acara perarakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimohon untuk menutup sementara beberapa laluan utama di Bukit Bintang pada waktu petang. Manakala, orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, monorel atau bas bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Dengan peruntukan besar dan sokongan pelbagai agensi, Bukit Bintang dijangka kembali menjadi ikon pelancongan bandar yang berkelas dunia, bukan sekadar pusat beli-belah tetapi simbol kemeriahan dan kreativiti Malaysia moden menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 