Budak 11 Tahun Cedera Dileher Lepas Terkena Tali Yang Dipasang Di Padang
Mangsa ketika itu sedang bermain basikal bersama rakan-rakannya di padang.
Cover image via Sinar HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang budak lelaki berusia 11 tahun cedera di leher selepas dakwa terkena tali yang dipasang di kawasan padang berhampiran rumahnya di Taman Kem, Pelabuhan Klang pada Rabu
Menerusi laporan Sinar Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang, ketika mangsa, Muhammad Iman Hazri, sedang seronok berbasikal dengan rakan-rakan di padang yang waktu itu sedang dalam proses ubah suai.
Menurut ibunya, Irnawati Sadali, 48, anak bongsunya langsung tak perasan ada tali yang direntang di bahagian belakang deretan gerai berhampiran padang berkenaan.
"Dekat kawasan padang itu sekarang tengah buat kerja pengubahsuaian. Saya ingatkan kontraktor pasang tali di bahagian depan sahaja, tetapi rupa-rupanya ada juga tali direntang di belakang gerai.
"Masalahnya, tiada tanda amaran atau papan 'awas' dipasang. Budak-budak pun tak tahu kawasan itu bahaya," katanya.

Luka di leher dan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut
Katanya lagi, akibat kejadian itu, anaknya mengalami luka di bahagian leher dan segera dibawa ke klinik berhampiran.
Namun disebabkan kecederaannya agak serius, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut.
"Doktor maklumkan luka itu hanya di bahagian kulit dan tidak sampai ke dalam. Namun, doktor minta pantau selama enam jam bagi memastikan tiada bengkak atau kecederaan pada urat.
"Alhamdulillah, suara anak saya juga dalam keadaan baik dan tidak terjejas," ujarnya.

Menurut Irnawati, dia dimaklumkan oleh penduduk setempat bahawa pihak kontraktor sendiri mengakui memasang tali tersebut dan berjanji akan bertanggungjawab atas kejadian itu.
"Dia (kontraktor) sudah mengaku kepada persatuan penduduk bahawa memang dia yang pasang tali itu dan akan bertanggungjawab. Tapi saya tetap akan buat laporan polis selepas dapat laporan doktor.
"Saya nak lindungi anak saya juga kalau nanti pihak pemaju salahkan budak-budak sebab main di situ," ujarnya.
Irnawati, yang juga ibu tunggal, berkata anaknya pulang ke rumah dalam keadaan leher berdarah, dibantu oleh rakan-rakannya selepas insiden berlaku.
"Dia masih mampu kayuh basikal balik tapi tangan dia pegang leher. Kawan dia bagitahu, baru saya tahu kena tali itu.
"Saya memang terkejut sangat. Kalau terkena kuat sikit sampai ke urat, saya tak tahu apa jadi," ujarnya.
Katanya lagi, dia berharap pihak kontraktor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat ambil serius insiden ini, dan memastikan keselamatan di kawasan kerja diberi keutamaan supaya perkara sama tak berulang lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



