Bidaan Nombor Plat Istimewa Siri ‘SIS’ Bermula 15 Ogos Ini – JPJ Malaysia
Ia sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Disember ini, orang awam berpeluang memiliki Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri 'SIS'
Menerusi laporan Buletin TV3, Selangor Royal Office memaklumkan bahawa siri 'SIS', yang merujuk kepada singkatan nama Sultan Idris Shah, turut dikeluarkan sebagai simbol meraikan Jubli Perak pemerintahan baginda yang memasuki tahun ke-25 pada tahun hadapan.
"Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menawarkan NPI 'SIS' secara bidaan dalam talian melalui Sistem JPJeBid.
"Ketetapan bidaan kepada orang awam untuk NPI 'SIS' akan dibuka pada 15 Ogos dan ditutup pada jam 10 malam 19 Ogos, manakala tarikh keputusan ialah 20 Ogos.
"Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.
"Harga bidaan adalah mengikut harga minimum yang telah ditetapkan oleh pihak JPJ," katanya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Image via Harian MetroHasil jualan akan disalurkan di sebuah yayasan bawah naungan Sultan Selangor
Menurut kenyataan itu, sebahagian hasil jualan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) berkenaan akan disalurkan kepada sebuah yayasan di bawah naungan Sultan Selangor, yang berperanan menjalankan pelbagai inisiatif kebajikan.
Dana tersebut antaranya akan digunakan untuk pemberian biasiswa serta bantuan kecemasan bagi meringankan beban mereka yang terkesan, khususnya dalam situasi seperti tragedi bencana alam.
"Yayasan itu kelak akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dan diuruskan tertakluk kepada prosedur serta tadbir urus yang telus.
"Untuk rekod, JPJ akan menjadi satu-satunya entiti menguruskan penjualan NPI ini dan tiada pihak ketiga akan terbabit dalam proses berkaitan," katanya.
Pada 8 Ogos lalu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, bagi membincangkan pelaksanaan proses bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) tersebut.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 